Sunday 30 June 2013

RAYUAN ZAKAT RAMADAN UNTUK DIAGIHKAN KEPADA MASYARAKAT ISLAM DI BURMA & PELARIAN ROHINGYA DI MALAYSIA & BANGLADESH

·  Untuk membantu 70,000 pelarian di Cox Bazaar (Bangladesh) bukan bawah naungan UNHCR -  hidup mereka begitu sengsara.

·   Untuk menghulurkan bantuan makanan, selimut dan ubat-ubatan kepada sekitar 120,000 ribu masyarakat Islam yang menjadi mangsa keganasan di Arakan dan di wilayah-wilayah lain seperti di Yangon, Mandalay dan Lashio di Shan State.

·  Untuk membantu menggerakkan program pendidikan di 13 buah madrasah di sekitar  Lembah Klang dan Seberang Perai untuk anak-anak pelarian Rohingya mendapat pendidikan duniawi dan ukhrawi. Inilah satu-satunya peluang yang ada untuk anak-anak pelarian berumur antara 6-14 tahun mendapat pendidikan, memandangkan mereka tidak berpeluang belajar di sekolah bantuan Kerajaan.


·  Untuk menghulurkan bantuan makanan asas (beras, minyak, tepung dll) bagi meringankan bebanan hidup masyarakat pelarian Rohingya yang tinggal di beberapa penempatan di Malaysia untuk menghadapi bulan Ramadan Al-Mubarak tahun ini.

Untuk pertanyaan sila hubungi Ustaz Mohd Jaber : 017 3549 311











 



Monday 17 June 2013

LIMA PELAJAR ETNIK ROHINGYA MENERIMA SUMBANGAN SAGUHATI DARIPADA ALWEFAQ CHARITY ASSOCIATION - LIBYA



(Duduk di depan dari kiri : Muhammad Sayed dan Faizal Nazir Hussein. (Belakang dari kiri) Zahiruddin, Ustaz Rahimullah (Naib Pengerusi MUR), Ustaz Mohd. Karim (Setiausaha Agung MUR, Ustaz Mohd. Jaber (Pengerusi MUR) dan Mahmudul Hassan. Qutub Shah (bawah)
Pada 21 Mei 2013 Alwefaq Charity Association – Libya telah menyumbangkan bantuan saguhati berjumlah RM1,200 seorang kepada lima orang pelajar berikut yang sedang menuntut di pelbagai bidang pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM):-.


  1. Mahmudul Hassan – Pengajian Fiqah dan Usuluddin (Peringkat Sarjana)
  2. Muhammad Sayed – Pengajian Al-Quran Walsunnah (Peringkat Sarjana)
  3. Zahiruddin – Pengajian Farmasi (Peringkat Ijazah Pertama)
  4. Faizal Nazer Hussein – Pengajian Ekonomi (Peringkat Ijazah Pertama)
  5. Qutub Shah – Pengajian Perbandingan Antara Agama (Peringkat Ijazah Pertama)

Pengerusi MUR, Ustaz Mohd. Jaber mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada wakil dari Alwefaq Charity Association – Libya  yang bermurah hati membantu lima orang pelajar Rohingya di UIAM.  Semoga kejayaan anak-anak Rohingya dalam bidang akademik akan dapat menaikan imej dan martabat bangsa Rohingya yang dahagakan ilmu pengetahuan.               

(Qutub Shah menerima sumbangan daripada Ustaz Mohd. Jaber – Pengerusi MUR)

SUMBANGAN DARI SEBUAH NGO DARI LIBYA UNTUK TAHANAN IMIGRESEN SEMENYIH



Pada 21 Mei 2013, Pimpinan MUR yang diketuai oleh Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan telah diberi kebenaran oleh Ketua Pengarah, Jabatan Depot, KDN untuk membuat lawatan ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor Darul Ehsan.

Tujuan lawatan tersebut adalah untuk menyampaikan sumbangan kain dan baju kemeja-T, sejadah, selipar, kain tuala mandi kepada 250 tahanan imigresen dari etnik Rohingya. Sumbangan kain sarung juga disampaikan kepada 30 tahanan wanita Rohingya.

MUR menerima sumbangan tersebut daripada wakil Alwefaq Charity Association – Libya - Ustaz Karem Eskendaaly.

Tahanan Rohingya di Depot Tahanan Imigresen Semenyih itu adalah kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen. Sebagaimana yang diketahui umum pelarian Rohingya merupakan ‘stateless people’ oleh kerana mereka dinafikan hak sebagai warganegara oleh pemerintah Myanmar sejak 1982. Oleh yang demikian mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

MUR merayu kepada pihak berkuasa di negara ini supaya memberi layanan khas kepada tahanan etnik Rohingya yang terpaksa meninggalkan bumi Arakan  bagi mengelakkan diskriminasi dan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah dan warga Rakhine yang beragama Buddhist.

Thursday 6 June 2013

PERKEP MEMBERI SUMBANGAN KEPADA MADRASAH MASYARAKAT PELARIAN ROHINGYA DI JALAN MERU, KLANG

[Puan Sri Rohayah mewakili PERKEP menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,950,  
bahan-bahan makanan serta alatulis kepada Ustaz Mohd. Jaber - Pengerusi, Majlis Ulama Rohingya (MUR)]


Yang Berbahagia Datin Seri Rohayah binti Dato Seri Panglima Haji Mohd. Yassin, isteri kepada Yang Berbahagia Dato’ Seri Mohd. Bakri Zinin (Timbalan Ketua Polis Negara) yang mewakili Persatuan Keluarga-Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman telah melawat Madrasah Al- Islamiah Al-Islahiah Maahad Tahfizul Quran di No. 2 Jalan Sentosa, off 29 Taman Bunga Melor, Jalan Meru, Klang pada 20 Mei 2013.

Ketibaan Datin Seri Rohayah dan ahli-ahli Jawatankuasa PERKEP telah disambut oleh Ustaz Mohd. Jaber Subahan selaku Pengerusi, Majlis Ulama Rohingya (MUR) dan barisan pimpinan MUR yang lain.

Sempena dengan lawatan tersebut PERKEP telah menyumbangkan sebanyak RM1,450.00 wang tunai dan sekeping cek bernilai RM500 .


Selain daripada itu PERKEP juga menghadiahkan kain, makanan kering (susu, gula, teh, milo dan biskut, coklat) dan alatulis (buku, pen, pensil) untuk 72 murid yang mengikuti pengajian al-Quran, Fardu Ain dan Tahfiz al-Quran di madrasah tersebut.

Ustaz Mohd. Jaber telah merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pimpinan utama PERKEP kerana begitu prihatin terhadap permasaalahan pendidikan yang dihadapi oleh anak-anak masyarakat pelarian Rohingya di negara ini.

Ustaz Mohd. Jaber juga berharap semoga NGO-NGO dan badan-badan kebajikan lain di negara ini akan tampil sama untuk memberi sumbangan samada dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang makanan serta alatulis untuk dimanfaatkan oleh murid-murid yang sedang mengikuti pengajian al-Quran dan Pengajian Islam di 13 buah madrasah di seluruh negara yang berada di bawah naungan Majlis Ulama Rohingya (MUR).

Kata Ustaz Mohd. Jaber lagi – hanya dengan memberikan pendidikan (khususnya ilmu ukhrawi) anak-anak ini akan menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wataala. Insya’Allah! 

(Pemimpin PERKEP bergambar dengan murid-murid dan barisan pemimpin MUR)


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More