[Ustaz Rahimullah,
Naib Pengerusi Majlis Ulama Rohingya (MUR) telah berpeluang menziarahi keluarga
beliau yang tinggal di Tiknaf, bandar di sempadan Bangladesh-Burma baru-baru
ini.
Berikut ini ialah
temubual Ghazali Yasin (GY) dengan beliau berkisar kepada pemerhatian dan
perkhabaran yang beliau kutip sendiri di kem-kem pelarian Rohingya di sekitar
Tiknaf. Disamping itu, beliau juga
berkesempatan bertemu dengan beberapa pemimpin masyarakat pelarian Rohingya di
situ.
Di sekitar Tiknaf terdapat
lebih kurang 100 ribu pelarian Rohingya tinggal di kem-kem pelarian. Menurut
Ustaz Rahimullah seramai 30,000 adalah pelarian yang berdaftar di bawah UNHCR.
Manakala selebihnya tidak berada di bawah naungan UNHCR. Mereka ini tinggal di
bangsal-bangsal buruk menyerupai kandang-kandang haiwan yang tidak sesuai untuk
didiami oleh manusia. Mereka hidup menderita dan keadaan persekitaran sungguh kotor.
Gambar-gambar yang
dipaparkan di bawah ini dirakamkan semasa beliau melawat kem-kem pelarian
UNHCR. Ustaz Rahimullah tidak mampu mengambil
gambar di bangsal-bangsal penempatan pelarian Rohingya yang tidak berdaftar di
bawah UNHCR itu kerana dikuatiri kamera beliau akan dirampas oleh pengawal
keselamatan pihak berkuasa Bangladesh]
(Ustaz
Rahimullah (kanan) sedang di wawancara oleh GY)
|
GY: Ustaz baru balik dari
Bangladesh untuk menziarahi keluarga yang tinggal di Tiknaf Boleh Ustaz ceritakan sedikit tentang keadaan
pelarian Rohingya yang tinggal di ribuan kem di sempadan Bangladesh-Burma?
Ustaz
Rahimullah: Ia, saya baru kembali dari Tiknaf iaitu
sebuah daerah di sempadan Bangladesh-Burma. Saya berada disana selama 3 bulan
25 hari – sudah lebih 5 tahun tinggal di Malaysia baru saya berpeluang menziarahi
anak isteri saya yang tinggal di situ.
Di Tiknaf terdapat lebih kurang 30 ribu pelarian Rohingya di bawah
naungan UNHCR. Mereka bertuah sebab menerima bantuan barang-barang keperluan makanan asas yang cukup - tetapi
tidaklah sempurna.
(Kem-kem pelarian Rohingya yang didaftar di bawah
UNHCR di Tiknaf, Bangladesh)
|
GY:
Jadi kedaan di kem-kem pelarian itu tidaklah teruk sangat Ustaz?
Ustaz
Rahimullah:
Di kem pelarian UNHCR, Alhamdulillah, mereka terjaga. Mereka dapat
perlindungan. Kem-kem yang didirikan itu agak baik keadaannya untuk mereka
berlindung dari hujan dan matahari. Pelarian di situ juga mendapat rawatan
perubatan. Anak-anak mereka juga mendapat pendidikan sekular tetapi pengajian
al-Quran dan Fardu Ain tidak termasuk.
Ia diajar di rumah atau tempat khas atas dayausaha beberapa mualim yang
ada di kalangan masyarakat pelarian Rohingya sendiri.
(Murid-murid lelaki sedang mengikuti Pengajian Agama
Islam di kem bawah naungan UNHCR)
|
(Murid-murid perempuan sedang mengikuti pengajian
kelas Fardu Ain}
|
Yang bermasaalah ialah
seramai lebih kurang 70 ribu pelarian yang TIDAK berdaftar di bawah UNHCR.
Orang tua, wanita dan kanak-kanak yang tinggal di bangsal-bangsal yang begitu
dhaif seperti kandang binatang amat menyedihkan. Bangsal-bangsal itu diperbuat
dari rumput, plastik dan jerami padi. Mereka ini tidak berani keluar ke bandar
kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa Bangladesh.
Mereka tidak menerima sebarang
bantuan kemanusiaan daripada UNHCR atau mana-mana NGO. Untuk hidup kaum lelaki keluar awal pagi untuk
membawa beca, pergi ke hutan ambil kayu untuk dijual atau mencari rebung atau
sayur hutan, menangkap ikan, membantu kerja-kerja pertanian disawah atau ladang
milik orang Bangladesh. Ada juga kaum wanita yang melakukan kerja sebagai pembantu
rumah.orang tempatan yang berada.
Keadaan di sekitar kem yang
tidak dijaga UNHCR begitu sesak dan kotor. Tidak ada kemudahan untuk tandas,
elektrik dan air. Ramai yang dihinggapi penyakit seperti malaria dan
ceret-beret – terutama sekali orang tua dan kanak-kanak. Mereka tidak dapat
perlindungan. Makanan tidak cukup dan tidak dapat rawatan perubatan.
GY: Kalau mereka sakit apa yang boleh mereka buat
jika tidak ada doktor?
Ustaz
Rahimullah: Mereka bergantung kepada ubat-ubat herba yang
dikutip dari daun dan akar kayu di dalam hutan untuk merawat malaria, ceret
beret dan lain-lain penyakit. Kalau ada kelahiran baru ibu-ibu yang bersalin hanya
dibantu oleh bidan kampung dari kalangan pelarian itu sendiri. Ramai ibu serta bayi
yang baru lahir meninggal dunia.
GY:
Apa sebab UNHCR tidak daftar dan beri bantuan kepada mereka?
Ustaz
Rahimullah:
Inilah kerenah kerajaan Bangladesh. Mereka tidak benarkan UNHCR atau NGO-NGO
lain untuk bantu kumpulan yang tidak berdaftar ini. Sebabnya , Kerajaan Bangladesh tidak mahu menerima
pelarian baru yang datang kemudian selain daripada kumpulan 30 ribu pelarian pertama
yang datang ke Bangladesh sekitar awal tahun 80an dahulu – apabila Akta
Kewarnegaraan 1980 diperkenalkan yang tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai
salah satu etnik Burma.
GY:
Bagaimana tentang keselamatan 70 ribu pelarian yang tidak dijaga oleh UNHCR
ini?
Ustaz
Rahimullah:
Mereka tidak mendapat perlindungan dari pemerintah. Ada kes-kes di mana
beberapa kejadian berlaku anak-anak gadis yang cantik-cantik dilarikan secara
paksa oleh orang tempatan yang tidak bertanggungjawab. Itu sebab orang
perempuan dan anak-anak mereka tidak berani keluar dari kawasan penempatan. Walaubagaimana
pun, secara amnya hubungan antara orang Bangladesh dengan masyarakat pelarian Rohingya
baik – kejadian rompak, peras utut, rogol dan penculikan ada berlaku dan ia
tidaklah ke tahap yang serious. Kejahatan seperti itu adalah lumrah dalam
mana-mana masyarakat dan tidaklah seteruk jika dibandingkan keadaan masyarakat
Rohingya di Arakan. Cuma layanan
daripada pemerintah berbeza.
GY: Tidak adakah NGO-NGO
Islam atau NGO-NGO dari negara Barat yang datang menghulurkan bantuan kepada pelarian yang tidak berdaftar
ini?
Ustaz
Rahimullah:
Kalau NGO-NGO Islam dari Kuwait, Turkey, negara-negara Arab yang lain (termasuk
Malaysia) datang, mereka hanya boleh memasuki kawasan kem tersebut jika mendapat
kebenaran daripada wakil kerajaan Bangladesh. Bantuan yang disampaikan itu
diselewangkan oleh agen-agen kerajaan. Mereka yang menerima serahan bantuan itu
di hadapan wakil-wakil pemerintah. Selepas pihak NGO itu balik agen kerajaan
akan datang semula dan mengambil separuh barang-barang makanan atau bantuan
lain yang disampaikan kepada
mangsa-mangsa pelarian Rohingya. Maknanya, tidaklah 100% bantuan kemanusiaan
itu sampai kepada sasaran.
GY:
Bagaimana pula dengan pendidikan anak-anak Rohingya di kem-kem yang tidak
berdaftar itu?
Ustaz
Rahimullah:
Pendidikan – kosong!.Hanya ada pengajian al-Quran atas usaha beberapa orang
mualim yang ada dalam komuniti itu. Majoriti anak-anak pelarian di situ buta
huruf dan sangat kurang pengetahuan agama. Ia bergantung kepada ibu-bapa dan
mualim-mualim yang tinggal bersama di kawasan itu.
(Inilah wajah kanak-kanak yang hidup dalam
kedhaifan)
|
GY:
Setakat ini ramaikah lagi pelarian baru Rohingya yang datang ke sempadan
Bangladesh?
Ustaz
Rahimullah: Keadaan mereka yang masih berada di Arakan
sentiasa dalam ketakutan. Perasaan mereka tak ubah seperti menunggu giliran
malaikal maut. Mereka sentiasa dizalimi .Mereka yang mampu bayar untuk sewa bot
atau sampan akan bersungguh-sungguh mencuba untuk keluar dari Arakan. Pihak
berkuasa Burma tidak halang mereka keluar. Tetapi apabila sudah keluar mereka tidak
dibenarkan masuk semula dalam Arakan. Sempadan Bangladesh-Burma dan kawasan
pantai sentiasa dikawal rapi oleh tentera sempadan yang dikenali sebagai nasaka. Bagi yang tidak mampu keluar
terpaksalah tinggal dalam ketakutan di Arakan.
(Beginilah keadaan pelarian Rohingya menaiki bot yang
sarat muatan meinggalkan Arakan)
|
GY: Berapa ramai masyarakat Rohingya yang masih
berada di Arakan?
Ustaz
Rahimullah: Melalui maklumat yang saya terima daripada
orang pelarian di sana masih ramai lagi yang tinggal di Arakan. Saya tidak
pasti berapa jumlahnya. Ada dua kumpulan. Satu kumpulan tinggal di Selatan Arakan (Akyab, Kyakpyu,
Mambiya). Mereka tinggal di kem-kem sementara. Makanan mereka (Cuma asas seperti beras, tepung, minyak masak
dsbnya) dijaga. Manakala di utara Arakan (Maungdaw, Bauthidaung) mereka tinggal
di kampong-kampong pendalaman dan terpaksa bergantung hidup dengan apa yang ada
di sekitar kampung dan hutan. Di Rathidaung
bulih dikatakan sebelah Timur sudah hapus. Rumah dibakar, orang dibunuh. Ada
juga yang sempat lari ke perkampungan lain. Disebelah Barat Arakan masih ada
lagi.
GY:
Bagaimana masyarakat Islam Rohingya yang masih tinggal di Arakan menunaikan
tanggungjawab sebagai seorang Muslim?
Ustaz
Rahimullah: Di dalam Arakan semua masjid dan madrasah
ditutup. Sekolah-sekolah untuk anak-anak orang Buddhist dibuka tetapi sekolah
untuk masyarakat Rohingya ditutup. Sekarang semua masjid langsung tidak diberi
kebenaran untuk digunakan. Pihak tentera sendiri yang mengunci pintu-pintu
masjid. Ada juga cerita yang kami dengar - di Bauthidaung - di mana sekumpulan
masyarakat Islam seramai lebih 30 orang ingin mendirikan solat Jumaat di mana Imam
bersama 11 orang makmum ditanggap dan di penjarakan. Mereka tidak dibenarkan
berhubung dengan sesiapa dan sehingga sekarang nasib mereka tidak diketahui.
Ada juga ustaz yang didapati mengajar di rumah juga ditanggap dan dipenjarakan. Begitulah zalimnya
pemerintah Burma ini.
Di kem pelarian sekitar Tiknaf
ada beberapa buah madrasah didirikan untuk pelarian Rohingya di bawah naungan UNHCR
Di penempatan yang tidak di bawah UNHCR tidak
ada madrasah – mereka terpaksa pergi ke masjid-masjid di kampung-kampung
masyarakat Bangladesh. Itulah baiknya masyarakat Islam Bangladesh. Mereka menerima
pelarian Rohingya untuk berkongsi sembahyang di masjid atau di
madrasah-madrasah di bawah kawalan mereka. Cuma halangan dari pihak pemerintah.
GY: Tahun lepas Presiden Barack Obama ada melawat
Burma. Selepas lawatan ada tidak perubahan transformasi politik berlaku sepertimana
yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Thein Sein?
Ustaz
Rahimullah:
Sebelum Presiden Obama datang konflik perkauman
berlaku antara masyarakat Rakhine Buddhist dengan masyarakat Rohingya Islam .
Sekarang ini kebencian terhadap masyarakat Islam merebak ke seluruh masyarakat
Islam di Burma (Mandalay, Miktila, Ukkan, Yangon )- iaitu, termasuk orang Islam yang bukan etnik
Rohingya. Inilah hasil propaganda yang dilakukan oleh pemerintah Burma yang
bersekongkol dengan masyarakat Rakhine serta sami-sami Buddha yang begitu
berpengaruh di kalangan masyarakat Burma yang majoritinya beragama Buddha.
(Inilah
rupa Madrasah Tahfiz Al-Sadikkiah yang dibakar sekitar bulan Mac 2012 –
mengorban
17 orang murid yang sedang nyenyak tidur)
|
Pada 21,22 dan 23 Mac 2013
yang lalu berlaku satu lagi keganasan kaum yang melibatkan orang Islam dengan
masyarakat Buddhist di Miktila, Mandalay State, Myanmar. Dalam pergaduhan tersebut sebuah kedai emas
kepunyaaan orang Islam musnah di bakar dan 13 buah Masjid serta 13 buah kampung
yang dihuni penduduk Islam juga dibakar.
Angka kematian dikatakan sekitar 300 orang (media cuma melalaporkan
sekitar 200 orang).
Menurut berita yang diterima
kejadian berpunca dari pergaduhan yang melibatkan seorang Buddhist yang cuba
menjual emas palsu kepada pekedai emas Muslim di Miktila. Apabila saudagar emas itu enggan menerima
sebab emas itu cuma disalut di bahagian luar maka pertengkaran berlaku. Tidak
lama kemudian sekumpulan Buddhists datang membelasah saudagar emas itu sehingga
mati dan membakar kedai tersebut. Orang ramai yang berada di sekitar tempat
kejadian melaporkan bahawa semasa kejadian itu berlaku terdapat tentera
keamanan pemerintah Burma berada berdekatan tetapi mereka hanya memerhati dari
jauh dan tidak sedikit pun cuba meleraikan keadaan.
Selepas dua minggu dari
kejadian itu di sekitar Yangon sebuah Madrasah Tahfiz Al-Sadikkiah dibakar (lihat
gambar di atas). Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah malam di mana
sekumpulan pengganas Buddhist telah membakar madrasah tersebut. Dalam kejadian itu
seramai 17 orang murid terbakar hidup-hidup manakala yang lain sempat
menyelamatkan diri.
GY: Disamping pulang menziarahi keluarga adakah
Ustaz lakukan kerja-kerja lain?
Ustaz
Rahimullah: Saya juga berkesempatan berjumpa dengan
beberapa mualim dan pemimpin masyarakat di kem-kem pelarian di sekitar Tiknaf. Sekarang ini MUR ada menjalin hubungan dengan
tokoh-tokoh ulama , ketua masyarakat Rohingya di Bangladesh. Malah MUR ada wujudkan
‘branches’ di bukan sahaja di bandar-bandar malah di kem-kem pelarian Rohingya
di Bangladesh. Atas faktor keselamatan maka saya tidak berani memaparkan
butir-butir perbincangan dan gambar pertemuan dengan aktivis dan ulama Rohingya
dan Bangladesh di sini.
GY: Mampukan MUR beri bantuan kepada pelarian
ini?
Ustaz
Rahimullah: Dulu ada. MUR ada beri bantuan barang makanan
, menyalurkan sumbangan binatang qurban yang kami terima daripada beberapa NGO
– khususnya dari NGO-NGO Islam Turki, German dan Malaysia.
Pada tahun ini MUR harap dapat
menerima bantuan daripada saudara Islam, agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi
zakat, termasuk Muslimin-Muslimat tempatan atas dasar fisabilillah.
GY: Bagaimana MUR dapat menyampaikan bantuan
kepada pelarian ini?
Ustaz
Rahimullah: Oleh kerana MUR mempunyai hubungan dengan
pemimpin masyarakat di kem-kem pelarian di bawah naungan UNHCR dan juga di
penempatan yang bukan dibawah kawalan UNHCR maka kami dapat bagi sumbangan yang
diterima daripada NGO-NGO antarabangsa, tempatan serta agensi-agensi kerajaan
yang lain sampai ke sasaran. Pemimpin-pemimpin MUR ada jalan (cara) untuk
memastikan bantuan kemanusiaan itu tidak diselewengkan oleh wakil pemerintah
Bangladesh.
Saya difahamkan oleh ketua
masyarakat pelarian Rohingya di kem-kem pelarian itu bahawa bantuan-bantuan
yang diberi oleh pemimpin atau wakil NGO antarabangsa dan dari Malaysia tidak
sampai sepenuhnya kepada sasaran – ia dihijack oleh pihak pemerintah. Pemimpin-wakil
NGO yang menghantar bantuan itu terpaksa melalui saluran formal – melalui
kerajaan. Pendekatan sedemikian kurang berkesan. Semasa penyerahan dibuat nampak
ok tetapi sumbangan itu dirampas kemudiannya.
Bantuan kemanusiaan yang
dihantar kepada pelarian Rohingya di wilayah Arakan juga begitu. Gambar-gambar
diambil untuk tujuan publisiti semata-mata.
Jumlah yang terlalu sedikit yang sampai kepada mangsa Rohingya manakala
kebanyakan bantuan itu disalurkan untuk masyarakat Buddhist!
GY: Beberapa banyak sumbangan diterima daripada
agensi kerajaan dan NGO dari Malaysia Ustaz?
Ustaz
Rahimullah: Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Malaysia di
bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak pun ada menyampaikan
bantuan kepada mangsa Rohingya yang terlibat dari keganasan kaum dengan etnik
Rakhine tahun lepas. Selain itu agensi zakat seperti Pusat Urus Zakat Selangor,
beberapa NGO seperti Future Global Network Foundation (FGN), Global Peace
Mission, IKRAM dan beberapa pertubuhan siasah seperti UMNO dan PAS menyumbang. Tidak
kurang ramainya Muslimin-Muslimat yang prihatin menghulurkan sumbangan melalui
MUR. Setinggi penghargaan dan ribuan terima kasih diucapkan kepada
pemimpin-pemimpan yang menyumbangkan derma dan kami berharap pada tahun ini
ramai lagi pihak yang tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan untuk
disalurkan kepada masyarakat Rohingya yang tinggal di kem-kem pelarian sempadan
Bangladesh serta mangsa-mangsa keganasan kaum yang masih berada di bumi Arakan.
GY: Apakah harapan Ustaz untuk masa depan
masyarakat Rohingya di dalam Arakan dan yang menjadi pelarian di Malaysia dan
negara-negara lain?
Ustaz
Rahimullah: Semua masyarakat Rohingya mengharapkan
pemerintah Myanmar di bawah pimpinan Thein Sein akan menghentikan program
keganasan dan penghapusan etnik terhadap masyarakat Rohingya – Sudah
bertahun-tahun kekejaman seperti penangkapan, peras ugut, pembunuhan, rampasan
harta, kemusnahan tempat tinggal, masjid dan kampung halaman dilakukan.
Akibatnya hampir 1.2 juta masyarakat Rohingya menjadi pelarian yang menimbulkan
masaalah bukan sahaja kepada kami bahkan juga kepada negara-negara penerima
yang terlibat. Kekejaman berlaku bukan sahaja
yang terbaru pada bulan Mac yang lepas malah sejak 1980 lagi apabila etnik
Rohingya digugurkan hak kewarganegaraan melalui Citizenship Law. Peranan dan
kesungguhan PBB, kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain, Russia,
Perancis serta pertubuhan serantau seperti European Union, OIC dan ASEAN sehingga
kini masih tidak berjaya menyelesaikan konflik di Arakan. Ini
dipersoalkan. Pemimpin-pemimpin dunia
dan serantau hanya berkokok sahaja tetapi tidak dapat menghalang kezaliman
berterusan terhadap masyarakat Islam Rohingya oleh rejim Burma yang diwarisi
oleh bekas jeneral tentera yang zolim ini. Harapan kami ialah supaya Etnik
Rohingya berjaya untuk mendapat kembali hak kerakyatan yang sah dan
sesungguhnya tentera pengaman PBB patut dihantar ke Arakan bagi mengawal
keganasan etnik antara Rakhine Buddhist dan Rohingya Muslim supaya pembunuhan
dan kezaliman terhadap etnik Rohingya dapat ditamatkan
(Anak-anak yang mati untuk disemadikan – kain kapan pun tidak mampu disediakan) |
Di Malaysia
keadaan pelarian Rohingya di sini sangat baik. Kami sangat-sangat menghargai
bantuan daripada Kerajaan, institusi-institusi zakat, NGO Muslim dan Muslimin
dan Muslimat yang begitu bermurah hati membantu kebajikan masyarakat Rohingya
yang tinggal di beberapa penempatan di sekitar Klang, Pulau Pinang, Johor,
Pahang, Trengganu dan Kedah. Kami memohon juga doa daripada semua pihak supaya
wujud pemimpin yang berperikemanusiaan di Burma dan Rohingya diberi pembelaan
sewajarnya. Wallahualam!