Ustaz Mohd Ayub
bin Haji Abdul Ghaffar bersama isteri dan anak-anak telah berhijrah ke Chicago,
Amerika Syarikat (AS) pada 16 Februari 2013. Penghijrahan beliau sekeluarga ke
AS telah dijayakan dengan bantuan pihak UNHCR.
Pemergian Ustaz
Ayub meninggalkan Malaysia untuk selama-lamanya adalah satu kehilangan besar
bagi Majlis Ulama Rohingya (MUR). Beliau yang memegang jawatan Bendahari sejak lebih
kurang enam tahun yang lalu merupakan seorang yang beramanah dan berintegriti.
Beliau juga banyak membantu MUR dari segi kewangan, kerja-kerja dakwah dan
melakukan ibadah amal – terutama dari segi pembangunan pengajian agama Islam
untuk anak-anak masyarakat pelarian Rohingya yang diwujudkan dalam bentuk
sistem madrasah di lebih 10 penempatan masyarakat Rohingya di sekitar Lembah
Klang dan Seberang Perai Tengah, Negeri Pulau Pinang.
Ustaz Mohd. Ayub
memilih untuk berhijrah ke Amerika Syarikat demi kepentingan masa depan
pelajaran tiga orang anak beliau yang sangat-sangat memerlukan pendidikan
formal. Di AS, beliau berharap
ketiga-tiga orang anak beliau akan berpeluang memasuki sekolah dan menimba ilmu
pengetahuan seluas-seluasnya.
Semoga
penghijrahan Ustaz Mohd. Ayub akan memberi manafaat bukan sahaja kepada beliau
sekeluarga malah kita berharap beliau akan dapat terus membantu MUR khususnya
dan masyarakat Rohingya amnya.
Pengerusi dan
semua pimpinan Majlis Ulama Rohingya mengucapkan ‘Selamat Maju Jaya’ kepada Ustaz
Mohd. Ayub. Jasa baikmu akan tetap dikenang. Allahu Akbar!