Friday, 1 March 2013

MASYARAKAT ROHINGYA MASIH MENUNGGU SENTUHAN AJAIB DARI PRESIDEN BARRACK OBAMA!


[Artikel di bawah ini ditulis oleh Ghazali Yasin, aktivis NGO, berdasarkan sumber lisan yang dipetik
daripada perbualan dengan Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan, Pengerusi Majlis Ulama Rohingya (MUR)]



President Barrack Obama

Sejak status kewarganegaraan etnik Rohingya dinafikan melalui ‘1982 Citizenship Law’ oleh junta Burma ketika itu pelbagai program terancang penghapusan etnik, termasuk menggerakkan propaganda secara halus menggunakan media, giat dijalankan. Sami-sami Buddha yang radikal juga dihasut untuk  meracuni pemikiran rakyat yang majoritinya beragama Buddhist supaya  membenci masyarakat Rohingya yang beragama Islam.

Rakyat Rohingya yang dirujuk sebagai Benggali didakwa bukan penduduk pribumi Burma dan mereka didakwa berasal dari Bangladesh dan merupakan kaum pendatang di bumi Arakan. Walhal bangsa Rohingya telah wujud di bumi Arakan sejak berkurun-kurun dan pernah mempunyai sistem pemerentahan beraja suatu ketika dahulu.

Etnik Rakhine yang bersekongkol dengan polis tempatan dan anggota tentera sering diperalatkan oleh pemerintah untuk melakukan pelbagai provokasi dan keganasan untuk merealisasikan program pembersihan etnik Rohingya dari bumi Arakan.

Sebagaimana yang diketahui umum tragedi berdarah yang berlaku pada bulan Jun 2012 itu mengorbankan ratusan orang Rohingya (malahan ada yang mendakwa ribuan yang terkoban); termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Dalam rusuhan itu beribu rumah dibakar dan harta benda komuniti Rohingya serta institusi agama seperti madrasah dan masjid dimusnahkan, terutama di bandar Sittwe (Akyab) dan perkampungan berdekatan dengan bandar tersebut. Berpuluh buah kampung dibakar sehingga menjadi padang jarak padang terkukur!

Malah, sejak 1982 telah banyak kali serangan dan pertumpahan darah yang mengorbankan ribuan etnik Rohingya terjadi akibat dari tindakan ganas dan fanatik puak pelampau Rakhine yang sentiasa menerima sokongan secara sulit dari  pemerintah junta Burma.

Gambar [kiri] - dipetik dari blog ‘The Independent’ - adalah manifestasi kekejaman dan kezaliman pemerintah ke atas masyarakat Rohingya. Begitulah daifnya rupa bangsal yang didiami oleh mangsa-mangsa etnik Rohingya yang terselamat daripada rusuhan kaum sangat dahsat yang berlaku tahun lalu.

Setelah lapan bulan berlalu, sungguhpun tidak terdapat lagi pembunuhan beramai-ramai dilakukan, namun api perkauman dan kebencian yang tebal terhadap masyarakat Rohingya bukan sahaja dari kalangan masyarakat Rakhine malahan juga dari penduduk Burma yang beragama Buddhist, masih belum reda lagi sehingga ke hari ini. Malah, keadaan sekarang ini dikatakan menunggu ledakan kuat dimana pihak pelampau Rakhine dikatakan sedang mengumpul pelbagai senjata sebagai persiapan untuk melakukan serangan terhadap penduduk Rohingya. Keadaan di Arakan ibarat gunung berapi yang sedang mengelegak  hebat, menunggu masa untuk meletup dan memuntahkan lahar-lahar panas!


Di Bandar Sittwe, yang teruk terjejas ialah komuniti peniaga. Rumah kedai dibakar, barang-barang disamun dan orang ramai terpaksa menyelamatkan diri  sehelai sepinggang untuk berlindung jauh di kampung-kampung di kawasan pendalaman. Masing-masing menaruh derita yang begitu teruk. Perbuatan kejam dan perangai kebinatangan dengan merogol dan memperkosa anak-anak gadis serta wanita-wanita Rohingya yang tidak berdosa amat menjijikan dan ia adalah suatu perbuatan yang terlalu keji, sukar untuk dimaafkan.

Kini, dianggarkan 110,000 etnik Rohingya masih tinggal di dalam kem-kem perlindungan di bawah pengawasan ketat pihak tentera. Mereka diberikan makanan secara ala kadar yang disalurkan melalui pelbagai pertubuhan antarabangsa termasuk ‘The World Food Program (WFP)’. Mengikut laporan media, WFP menghadapi kekurangan dana dan dijangka boleh bertahan sehingga pertengahan tahun ini sahaja. WFP sedang menjalankan usaha-usaha mengumpul dana tambahan dari negara-negara dan agensi-agensi  penyumbang dalam masa terdekat.

Manakala beratus ribu lagi masyarakat Rohingya masih berlindung jauh di kawasan terpencil di pendalaman. Mereka menderita dan hidup dalam kedaifan yang amat dahsyat. Bangsal yang didiami tidak mampu bertahan dari hujan dan matahari. Tidak ada bekalan api dan air bersih serta sistem kumbahan. Keadaan sekeliling  teramatlah kotor dan menjijikan. Hakikatnya, tempat yang diduduki oleh mangsa-mangsa rusuhan dari etnik Rohingya itu memang tidak sesuai diduduki oleh manusia.

Ramai penduduk dihinggapi pelbagai jenis penyakit, terutamanya kanak-kanak dan orang tua yang kebanyakannya mati disebabkan tidak ada bekalan ubat dan doktor yang merawat untuk memberi bantuan perubatan. Persemadian mangsa-mangsa yang gugur tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Jenazah setakat dibungkus dengan baju pakaian dan tikar-tikar buruk sahaja.

Melalui berita yang diterima daripada saudara-mara dan rakan-rakan yang masih boleh dihubungi dari sana mereka terpaksa memakan apa sahaja benda yang boleh diperolehi seperti ubi, jagung, umbut pisang, rebung, pelbagai jenis pucuk kayu yang terdapat di dalam hutan untuk mengelakkan dari mati kebuluran.

Pergerakan antara bandar ke bandar bagi masyarakat Rohingya disekat oleh pihak polis-tentera. Yang peliknya pihak polis dan tentera tidak pula menghalang pergerakan masyarakat dari etnik Rakhine. Malah mereka bebas melakukan urusan harian termasuk berniaga (yang diharamkan kepada peniaga Rohingya).

Penangkapan secara arbitrari (terutamanya golongan belia dan lelaki muda) masih dilakukan, baik di kem-kem tahanan mahu pun di perkampungan oleh pihak polis dan tentera [kiri]. Lazimnya, mereka yang ditangkap itu tidak diketahui ke mana mereka dibawa dan saudara mara pun tidak tahu apa yang terjadi pada nasib mereka.

Sekolah-sekolah telah dibuka untuk anak-anak etnik Rakhine sahaja. Manakala anak-anak masyarakat Rohingya langsung tidak berpeluang mendapat pendidikan.

Perangai pengganas-pengganas Rakhine dan juga penyokong-penyokong mereka yang beragama Buddhist seperti manusia yang tidak bertamadun atau tidak ubah seperti haiwan yang ganas.

Disebabkan keadaan hidup di setiap inci bumi Arakan terlalu menderita, bahaya  dan tidak selamat, beribu-ribu masyarakat Rohingya yang terdiri dari wanita, kanak-kanak, warga emas, termasuk mereka yang uzur  menggunakan pelbagai dayausaha dan dayaikhtiar untuk memboloskan diri meredah hutan belantara, mengharungi lautan dengan bot kecil yang penuh sarat - keluar dari Arakan hampir setiap hari  dengan hajat untuk berhijrah ke negara jiran yang mereka fikir jauh lebih selamat dari bumi tempat tumpah darah sendiri.

Dalam usaha nekad itu mereka terpaksa bersabung nyawa. Ada yang berjaya tetapi ramai juga yang kecundang ditelan badai dan gelombang sebesar gunung lautan Hindi.

Masyarakat Rohingya yang keluar dari Arakan ramai memilih untuk tinggal di Malaysia sebab di negara bertuah ini mereka tidaklah dilayan seperti haiwan oleh pihak pemerintah. Yang terbaru, seramai 102 orang Rohingya ditahan oleh pihak berkuasa di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Pimpinan Majlis Ulama Rohingya (MUR) berharap semoga pemerintah Malaysia dapat menerima rakan-rakan dan saudara mara kami yang terdampar itu tanpa banyak karenah. Anggaplah masyarakat Rohingya ini sebagai pelarian dari Burma untuk mendapat perlindungan politik.

Sejak lawatan Presiden Barrack Obama selama 6 jam ke Burma pada 19  November tahun lalu belum ada tanda-tanda meyakinkan sebarang transformasi  politik dan ekonomi yang serious dilakukan oleh pemerentah Burma di bawah pimpinan Thein Sein.

Ucapan Obama yang berkobar-kobar di University of Rangoon  yang menggegarkan masyarakat seluruh dunia ketika itu - kini sudah padam. Amerika Syarikat serta pertubuhan-pertubuhan serantau seperti Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan OIC tidak lagi mengambil kesah tentang soal ‘national reconcialiation’ dan ‘political transformation’ yang dijanjikan oleh pemimpin regim Burma kepada Obama ketika pertemuan mereka ketika itu.

Aung San Su Kyi [kanan], Pemenang Hadiah Nobel, yang dikenali sebagai ikon pejuang hak asasi manusia, keadilan dan kebebasan hanya membisu seribu bahasa dan tidak memberikan sebarang komitmen untuk memberi keadilan kepada etnik Rohingya. Malah Su Kyi mempertahankan undang-undang yang tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganegara Burma. Nyata sekali, beliau hanya berminat untuk mendapat undi dan kuasa politik dari sokongan masyarakat yang majoritinya beragama Buddhist.

Kini, seluruh masyarakat Rohingya di bumi Arakan (termasuk sekitar 2 juta yang menjadi masyarakat pelarian di negara-negara jiran, termasuk Malaysia) -  yang begitu ghairah memuji setinggi langit ucapan Presiden Obama  pada 19 November dulu - masih lagi menaruh 1001 harapan semoga Obama dapat melakukan lawatan ke Burma buat kali kedua untuk menyergah Thein Sein supaya merealisasikan janji-janji manis yang diikrarkan pada pertemuan mereka dahulu.

Yang jelas, semangat pemimpin kuasa-kuasa besar dan masyarakat antarabangsa untuk menyelesaikan konflik perkauman dan memberikan keadilan kepada masyarakat etnik Rohingya Muslim yang tertindas begitu lama di bumi Arakan telah padam!


Sedangkan masyarakat Rohingya masih menjadi masyarakat yang paling dahsyat tertindas di dunia ini – sepertimana yang diakui sendiri oleh Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sebagai pemimpin Majlis Ulama Rohingya, Ustaz Mohd Jaber berdoa semoga mimpi indah beliau untuk melihat wujudnya pemimpin yang berperikemanusiaan, bijaksana, tegas dan berani untuk menegakan sistem keadilan akan wujud di Burma supaya etnik Rohingya dapat merangkul semula hak  kewarganegaraan yang sah.  Dengan keamanan yang wujud nanti bumi Arakan sudah tentu akan dapat melahirkan anak bangsa Rohingya yang berilmu, progresif, beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahuwataala untuk kejayaan dunia dan akhirat. Hanya dengan izin Allah, mimpi indah Ustaz Jaber itu akan tercapai. Insya’Allah!

Yang jelas, seluruh masyarakat Rohingya masih menunggu sentuhan ajaib dari Presiden Barrack Obama!

Allahu Akbar!  Allahu Akbar!  Allahu Akbar!






















Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More