Blog Kelab
1Malaysia
(http://siemens-melayumaju.blogspot.com/2012/10/gambar-terbaharu-misi-rohingya-kelab.html) melaporkan bahawa setakat
ini urusan misi kemanusiaan KP1M untuk membantu penderitaan masyarakat Rohingya
di Myanmar nampak berjalan agak lancar.
Rombongan utama misi tersebut diketuai oleh Presiden KP1M Datuk Azeez Abdul
Rahim yang tiba di Yangon pada Sabtu 6 Oktober. Rombongan tersebut berlepas dari
Yangon dengan pesawat komersial tempatan ke bandar perlabuhan Sittwe (Akyab)
pada tengahari Ahad.
Ketibaan Datuk
Azeez dan rombongan disambut baik oleh Ketua Menteri Wilayah Rakhine, Hla Maung
Tin di lapangan terbang,turut sama ialah Menteri Hal Ehwal Sempadan Myanmar, Mejar General Zaw Winn dan Duta
Malaysia di Myanmar, Dr. Ahmad Faizal Muhamad.
Sejurus
selepas itu, Datuk Azeez serta Ketua Menteri Rakhine dan Menteri Hal Ehwal
Sempadan Myanmar, Duta Malaysia, Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K. Sri
Dhammarathana dan 8 orang wakil media dari Malaysia telah melawat Kuil Lawka
Nandar - kuil terbesar di daerah Sittwe.
Disitu mereka telah mengadakan
pertemuan dengan Ketua sami Buddha daerah Sittwe, Badanda Pentita. Tujuan
pertemuan itu
adalah untuk memberitahu mengenai tujuan misi bantuan kemanusiaan
anjuran Kelab Putera 1Malaysia.
Ketua Sami
Buddha Malaysia memberitahu bahawa Malaysia juga merupakan satu negara yang
mempunyai masyarakat berbilang kaum dan hidup dalam suasana yang penuh harmoni
atas semangat perpaduan. Wakil rombongan juga dibawa melawat kuil
tersebut.
Melalui laporan
akhbar Sinar Harian (Isnin, 8 Oktober
2012) kapal misi kemanusiaan dari Malaysia dengan muatan 500 tan barangan
tiba pada pagi 8 Oktober.
“Sejurus kapal
tiba, barangan keperluan akan diagihkan kepada kem-kem penempatan sementara
masyarakat Muslim dan Buddha yang dipilih oleh kerajaan Myanmar.”
Datuk Azeez Rahim
dilaporkan berkata selain bantuan lebih 500 tan makanan serta keperluan lain,
pihaknya turut menyediakan 10,000 helai kelambu untuk diagihkan kepada penghuni
di kem penempatan sementara bagi membendung penyakit Malaria.
Kepimpinan
Majlis Ulama Rohingya (MUR) ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi
penghargaan dan terima kasih kepada usaha murni pimpinan Kelab Putera 1Malaysia
ini kerana berjaya menghulurkan bantuan kemanusiaan disamping memupuk dan
membaikpulih hubungan persahabatan antara masyarakat Islam dan masyarakat
Buddha – khususnya di tempat-tempat yang bergolak di wilayah Arakan.
Amatlah
diharapkan semoga mangsa tragedi dari etnik Rohingya yang tinggal di sekitar
bandar-bandar Maungdaw dan Butidaung juga tidak terlepas pandang oleh pihak
kerajaan dan NGO dari Malaysia bagi menerima bantuan kemanusiaan.
Oleh itu,
marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah s.w.t memberi perlindungan dan keselamatan
kepada masyarakat Rohingya yang terperangkap dibumi Arakan dan berharap
pemerintah Myanmar berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan keadilan serta
menghapuskan segera dasar diskriminasi terhadap masyarakat Islam Rohingya di bumi Arakan.