Friday, 23 November 2012

LAWATAN ENAM JAM PRESIDEN BARACK OBAMA KE MYANMAR

[Presiden Barack Obama menyampaikan ucapan  bersejarah di Universiti Yangon, Isnin 19 November 2012  (Photo: The Irrawaddy)]






Lawatan Presiden Obama ke Myanmar yang turut diiringi oleh Setiausaha Negara, Hillary Clinton pada Isnin  19 November 2012  dianggap amat bersejarah (walaupun hanya selama 6 jam).

Obama, yang baru beberapa minggu memenangi pilihanraya untuk penggal kedua, merupakan presiden Amerika yang pertama (yang masih memegang jawatan) melawat Myanmar – sebuah negara yang kini diperintah separa-tentera (tetapi mendakwa sedang melakukan reformasi ke arah demokrasi), setelah berada dibawah cengkaman junta militari selama 50 tahun. 

Myanmar merupakan negara pertama yang dilawati Obama dalam siri jelajah ke Asia Timur, termasuk Thailand dan Kemboja.

Sebagai menunjukkan tanda ‘goodwill’ dalam  perubahan politik menjelang beberapa hari ketibaan Obama, Presiden Thein Sein, sebagaimana  dilaporkan oleh berita antarabangsa, telah membebaskan sejumlah 518 tahanan dalam dua peringkat. 

Walaubagaimana pun, bilangan tahanan politik yang dibebaskan tidaklah ramai dan dianggarkan sekitar 2,000 masih lagi ditahan di penjara. 

Golongan hak asasi manusia masih lagi mendesak agar pemerintah Myanmar segera membebaskan kesemua tokoh politik yang masih dipenjarakan (dianggap oleh junta tentera dahulu sebagai penjenayah!)

Pimpinan Utama Majlis Ulama Rohingya juga mendesak semoga Presiden Thein Sein membebaskan ratusan (mungkin ribuan) tahanan masyarakat Rohingya yang ditangkap secara arbitrari sepanjang keganasan etnik yang tercetus pada awal Jun 2012 dahulu.

Presiden Obama sempat mengadakan pertemuan dengan Presiden Thein Sein dan pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi secara berasingan.

Selain bertemu dengan kedua tokoh penting tersebut, Obama juga memilih Universiti Yangon, yang menjadi pusat gerakan prodemokrasi, untuk menyampaikan pidato kepada aktivis masyarakat sivil dan para mahasiswa.

Perbincangan dengan Thein Sein dan Suu Kyi serta ucapan beliau di Universiti Yangon dilaporkan berkisar pada tema reformasi politik, keganasan etnik di Arakan, pelanggaran hak asasi manusia serta soal pembangunan dan mengatasi kemiskinan.  Apa yang memberansangkan, Presiden Obama ada membangkitkan diskriminasi dan keganasan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya secara spesifik.

Presiden Obama dikatakan juga telah berjanji akan terus membantu  Myanmar, tertakluk kepada syarat Myanmar menunjukkan tanda-tanda bersungguh mahu berubah kepada pemerintahan  demokrasi.

Banyak telahan telah dibuah oleh pemerhati politik berhubung lawatan Obama ke Asia Timur sebaik memenangi pilihanraya untuk penggal kedua.

Ada yang menyatakan ia merupakan satu peralihan ke Asia Timur untuk menghantar satu mesej yang tersirat mungkin kepada China yang bersempadanan dengan Myanmar – setelah beberapa lama sebelum ini Amerika terlibat dalam  peperangan di Iraq dan Afghanistan.

Bersempena lawatan bersejarah Presiden Obama ke Myanmar ini seluruh masyarakat Rohingya menaruh harapan yang amat tinggi agar pemerintah Myanmar mampu merialisasikan penyatuan nasional (national reconcialition) dalam usaha reformasi politik yang diuwar-warkan sedang dilakukan oleh Presiden Thein Sein.  

Pakej pembaharuan politik baru ini wajib meliputi penyelesaian isu-isu utama seperti hak asasi manusia, pengiktirafan etnik Rohingya sebagai warganegara yang sah, pembangunan ekonomi, menangani kemiskinan,  penghentian keganasan etnik, menegakkan keamanan dan keadilan dengan memastikan  anggota polis dan tentera Myanmar bersikap profesionalisme dan tidak memihak dalam  penyelesaian konflik.

Setakat ini cabaran yang terpaksa ditempuh oleh Presiden Thein Sein amat besar.  Selain daripada Thein Sein (seorang bekas Jeneral) ramai dalam pemerintah sekarang ini terdiri dari bekas pegawai tinggi tentera.  Peralihan kearah pemerintahan demokrasi bermaksa kuasa mereka akan hilang.

Selain daripada itu, pemimpin-pemimpin agama Buddha juga perlu berubah dan hendaklah mendukung obor keamanan selaras dengan doktrin ajaran Buddhisme.  Mereka perlu mengikis sikap ‘racist’.

Pihak tentera dan sami-sami Buddha adalah dua cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pemimpin pro-demokrasi.  Dua pihak ini (tentera dan sami Buddha) merupakan golongan pelampau di Myanmar yang sering dikaitkan dengan penyusunan program keganasan bagi penghapusan etnik kaum Rohingya di bumi Arakan.

Apa-apa pun, Myanmar perlu berubah. Myanmar perlu menyelesaikan politik perkauman untuk menjadi sebuah negara yang bertamadun, untuk membangun dan mengatasi kemiskinan tegar serta untuk mendapat pengiktirafan dan sanjungan antarabangsa.

Sekali lagi kami berharap Presiden Barack Obama akan dapat memainkan peranan yang lebih tegas dan terus memantau semoga pemerintah Myanmar berpegang pada janji untuk terus bergerak ke arah reformasi politik!


Ustaz Mohd. Jaber Mohd. Subahan
Pengerusi
Majlis Ulama Rohingya (MUR)

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More