[Pengendali blog ‘Majlis Ulama Rohingya Malaysia’ sempat menemubual
Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan, Pengerusi Majlis Ulama Rohingya (MUR)
baru-baru ini untuk mendapat pandangan beliau tentang kepentingan lawatan
Presiden Barack Obama ke Burma pada 19 November 2012. Ustaz Mohd. Jaber juga
menceritakan laporan terbaru tentang keadaan masyarakat Rohingya di bumi Arakan
masakini. Beliau juga merakamkan
penghargaan dan terima kasih kepada pemerintah dan rakyat Malaysia yang banyak
membantu masyarakat pelarian Rohingya yang dianggarkan berjumlah sekitar 30,000
yang berlindung di negara ini. Disepanjang temubual tersebut, Ustaz Mohd. Jaber
memilih mengekalkan nama Burma dan enggan mengiktiraf ‘Myanmar’ – nama yang
digunapakai sejak 1989, semasa pemerintahan rejim tentera]
Ustaz
Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan
Pengerusi
Majlis Ulama Rohingya (MUR)
|
Baru-baru ini President Barack Obama melawat Burma hanya selama
6 jam – terlalu singkat. Bolehkah Ustaz terangkan apakah makna lawatan tersebut
bagi masyarakat Rohingya yang begitu lama didiskriminasi sehingga tidak
diiktiraf sebagai warganagera sejak 1982?
Ustaz Jaber: Betul, lawatan Presiden Barack Obama ke Burma terlalu singkat tetapi
begitu bermakna sekali bagi masyarakat Rohingya. Pertama, ia merupakan Presiden Amerika Syarikat yang pertama (yang
masih memegang jawatan) yang melawat Burma. Kedua, Obama berpeluang bersemuka dengan Presiden Thein Sein dan
pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi dan menyatakan sokongan penuh terhadap
reformasi politik dan reformasi ekonomi yang sedang direncanakan oleh pemerintah
Burma sekarang. Presiden Obama berterus
terang membangkitkan isu pencabulan hak asasi manusia, keganasan kaum di
Arakan, tahanan politik, isu kerakyatan etnik Rohingya dan kaum minoriti lain
dan sebagainya yang perlu diambil perhatian dalam pembaharuan politik Burma. Ketiga,
Obama secara terbuka mengambil peluang memperjelaskan isu-isu yang dibincangkan
dengan pemimpin Burma itu dalam satu pidato umum di Universiti Yangon untuk
masyarakat sivil dan para mahasiswa yang keseluruhan ucapan tersebut tersebar ke
seluruh dunia.
Saya
berpendapat bahawa itulah kejayaan paling besar bagi masyarakat Rohingya – isu
pelbagai bentuk diskriminasi, keganasan dan kekejaman terhadap masyarakat Rohingya
di bumi Arakan tersebar ke seluruh dunia. Selama ini, isu Rohingya kurang mendapat
perhatian dan kurang diambil peduli oleh masyarakat antarabangsa. Ia bolehlah diumpamakan sebagai sebatang
pokok besar yang tumbang di dalam hutan – bunyinya amat kuat tetapi tidak ramai
orang yang mendengarnya – kecuali orang yang ada disekitar kawasan itu. Kali
ini kayu besar itu (suara Obama) begitu kuat dan boleh didengar di seluruh
dunia. Walau pun, Obama berada di Burma
selama 6 jam sahaja tetapi ia begitu bermakna bagi masyarakat Rohingya.
Selepas lawatan Obama ke Burma adakah Ustaz yakin pemerintah Burma
akan berubah dan akan melaksanakan reformasi yang diharapkan?
Ustaz Jaber: Saya yakin Burma akan berubah tetapi reformasi politik, sosial dan
ekonomi itu tidak mungkin bertukar sepenuhnya dan tidak mungkin berlaku dalam
masa terdekat – terutama perubahan politik.
Ia akan mengambil masa yang lama, mungkin tidak berlaku dalam satu dekad
ini.
Kita
kena realistik memahami keadaan dalaman di
negara Burma dan cabaran yang sebenar.
Disatu
pihak, Presiden Thein Sein, seorang bekas jeneral, di sokong oleh hampir 76%
ahli parlimen USDP yang majoritinya terdiri dari bekas tentera. Mereka ini sudah tentu sedaya upaya mahu
mengekalkan kuasa dan tidak mahu kehilangan kuasa jika Burma bergerak ke arah
demokrasi.
Selain
itu, pemerintah juga terpaksa berhadapan dengan 144 kumpulan etnik. Jumlah etnik yang diiktiraf ialah 135 sahaja –
tidak termasuk Rohingya. Pemerintah terpaksa menyelesaikan isu Rohingya, Kachin
dan lain-lain etnik yang menuntut pengiktirafan kerakyatan sebelum bergerak
kearah penyatuan nasional (national
reconcialiation).
Satu
lagi halangan yang akan dihadapi oleh pemimpin pro-demokrasi ialah pengaruh
sami-sami Buddha yang amat berpengaruh terhadap rakyat yang 95% beragama
Buddha. Pemimpin-pemimpin sami Buddha
ini turut sama, bertahun-tahun, menanamkan sikap kebencian terhadap masyarakat
Rohingya di kalangan rakyat yang beragama Buddha.
Satu
lagi halangan ialah China, yang berjiranan dengan Burma, yang merupakan
‘godfather’ bagi Burma. China yang
bersaing dengan Amerika sudah tentu tidak mahu melepaskan Burma dari
cengkamannya – memandangkan Burma begitu penting dari segi geopolitik di rantau
itu. Selama ini, walaupun ada sanctions namun China dikatakan terus berdagang dan membekalkan
senjata kepada Burma. Jadi, sanctions UN tidak ada kesan.
Tentera,
pelampau Buddha, pengaruh Beijing sendiri bolehlah kita anggap sebagai ‘bahan
bakar’ yang amat mudah mencetuskan kacau bilau yang boleh menggagalkan sebarang
usaha pembaharuan di Burma.
Dalam keadaan sekarang ini, Thein Sein pun nampak begitu lemah
dan belum berjaya melaksanakan reformasi di Burma, Adakah pemimpin seperti Aung
San Suu Kyi akan berjaya menyatukan Burma?
Ustaz Jaber: Aung San Suu Kyi adalah seorang anak kelahiran Burma yang baik dan
terpelajar. Beliau boleh memimpin Burma
sekiranya Burma diperintah secara demokrasi.
Katakanlah partinya NLD menang dalam pilihanraya 2015 nanti dan berjaya
menegakkan sebuah kerajaan saya tidak jamin ia boleh bertahan lama. Dasar dan tindak tanduk Suu Kyi akan sentiasa
di’undermine’ dan dikawal oleh pemimpin tentera dan sami-sami Buddha.
Memandangkan
Aung San Suu Kyi pernah bersuamikan warganegara luar (bukan rakyat Burma), mengikut
Perlembagaan beliau tidak layak menjadi presiden. Oleh itu beliau perlu
mengatasi halangan utama – meminda Perlembagaan – yang memerlukan kelulusan Parlimen
terlebih dahulu.
Bagi
hemat saya, Suu Kyi tidak akan berani mengenengahkan sesuatu dasar yang boleh
menimbulkan kemarahan puak tentera dan sami-sami Buddha. Untuk mendapatkan kuasa politik beliau perlu
sokongan majoriti. Suu Kyi tidak mampu
menyalakan obor keamanan untuk memberikan keadilan kepada Rohingya untuk mendapat hak kerakyatan kerana sebagai ahli
politik beliau sentiasa ingin meraih sokongan dan bimbang mengenai tentangan daripada
masyarakat Buddhist.
Kalau Ustaz pun meragui keupayaan Aung San Suu Kyi, jadi pemimpin
yang macam manakah yang Ustaz fikir boleh menyatukan Burma, yang mempunyai
penduduk terdiri dari ratusan suku kaum (etnik)?
Ustaz Jaber: Saya
fikir pemimpin yang bijaksana, berani, tegas, pragmatik dan berwawasan seperti Presiden Obama dan Tun
Mahathir Mohamad belum lagi muncul dalam arena politik Burma. Kedua tokoh tersebut, bagi hemat saya,
melalui ‘track records’ pimpinan mereka, berupaya menyelesaikan konflik politik
dan ekonomi – iaitu memakmurkan negara dan ‘social
control’ yang berkesan bagi menjaga keamanan untuk membawa rakyat keluar
dari kemiskinan, walaupun tidak secara total.
Walaubagaimana
pun, sistem pilihanraya, sistem perundangan dan kehakiman, sistem pentadbiran,
sistem pendidikan, malah Perlembagaan Negara Burma sendiri yang banyak
kepincangannya, perlu digubal semula.
Contohnya, ‘Citizenship Law 1982’
yang menafikan hak etnik Rohingya sebagai warganegara Burma perlu dihapuskan.
Saya
fikir, Burma perlu dipimpin oleh tokoh ilmuan atau aktivis yang memiliki
‘intelectual honesty’ yang tinggi, yang mendukung prinsip-etika-moral yang
mulia untuk berlaku adil. Itulah saya
fikir titik permulaan kepada reformasi politik yang akhirnya dapat menyatukan
beratus etnik di Burma. Kita tidak boleh
berharap kepada tentera untuk memerintah Burma, yang hanya tahu menyelesaikan
konflik dengan cara kekerasan dan keganasan tanpa rasa belas kasihan.
Selepas lawatan Obama ini adakah Ustaz fikir konflik etnik di
Arakan akan berakhir dan mangsa Rohingya boleh balik kampung masing-masing?
Ustaz Jaber: Dalam situasi sekarang ini tidak mungkin seramai lebih 100,000
etnik Rohingya yang dilapurkan kehilangan tempat tinggal boleh balik ke kampung
halaman masing-masing. Rumah mereka habis
musnah dan harta benda mereka turut musnah. Dari jumlah itu, saya difahamkan
bahawa sebahagiannya tinggal di kem-kem yang ketat dikawal oleh tentera dan sebahagian
yang lain masih berlindung di kampung-kampung pendalaman.
Pada
masa ini keselamatan terkawal sedikit sebab ada campur tangan dari Obama dan
pemerintah tahu bahawa semua mata seluruh dunia kini sedang memandang Burma dan
menyoal – adakah janji reformasi Thein Sein akan ditunaikan?
Sekiranya
‘curfews’ ditarik balik keadaan lebih
menakutkan sebab masyarakat Rakhine dikatakan sudah mengumpul senjata api dan pelbagai jenis senjata
lain. Lagi pun, kita tidak percaya
kepada polis dan tentera.
Dalam
rusuhan dahulu ramai masyarakat Rohingya yang mati disebabkan tembakan dari senjata
api. Sepatutnya kerajaan perlu mewajibkan semua orang (tidak kira etnik Rakhine
atau Rohingya) supaya menyerahkan segala senjata api dan alat-alat tajam yang
lain yang boleh membunuh atau mencederakan, jika kerajaan betul-betul jujur
mahu hentikan keganasan.
Setelah
Presiden Obama melawat Burma, kini giliran pemimpin-pemimpin Eropah(EU), Russia,
United Nations dan ASEAN perlu tegas untuk mendesak Thein Sein supaya
menghentikan pelbagai program penghapusan etnik, iaitu memperalatkan etnik
Rakhine, yang mendapat bantuan
daripada polis dan tentera, untuk
merusuh dan menzalimi masyarakat Rohingya. Akibat dari pelbagai diskriminasi, kekejaman
dan sekatan yang dikenakan terhadap etnik Rohingya maka 1.2 juta telah meninggalkan
Arakan untuk hidup sebagai pelarian di Bangladesh dan negara-negara jiran,
termasuk Malaysia.
Masyarakat
Rohingya hanya akan selamat untuk kembali ke kampung halaman dan memulakan
kehidupan yang baru jika United Nations
dapat menghantar tentera pengaman untuk mengawal keselamatan di Arakan, seperti
yang berlaku di Somalia dan Lebanon.
Betulkah keadaan di Arakan masih lagi belum reda, Ustaz?
Ustaz Jaber: Melalui berita yang baru kami terima bahawa keadaan di Arakan masih
belum pulih. Keganasan dan kekacauan oleh pihak Rakhine Buddhist masih berlaku. Tangkapan secara arbitrary masih meluas terhadap pemuda, ahli perniagaan dan golongan
ilmuan. Pihak polis dan tentera masih
lagi memihak dan tidak profesional dalam menjalankan tugas. Mereka membantu masyarakat Rakhine untuk
melakukan keganasan terhadap etnik Rohingya.
Di
Arakan, umat Islam tidak dibenarkan menegakkan solat Jumaat. Begitu juga orang-orang kita tidak dibenarkan
sembahyang Tarawih, menunaikan solat sunat Aidul Fitri dan solat sunat Aidul
Adha serta tidak dibenarkan melakukan ibadah qurban. Namun sewaktu Aidul Adha
yang lalu ibadah qurban dapat juga dilakukan secara rahsia di beberapa tempat pendalaman.
Yang
menyedihkan masih berlaku wanita dirogol, termasuk anak-anak gadis belasan
tahun!
Pengusiran
orang Rohingya berlaku dari bandar ke kampung dengan tujuan untuk mengosongkan bandar
dari masyarakat Rohingya. Contohnya, di Akyab (Sittwe) orang Rohingya kini dilarang
berniaga.
Masyarakat
Rohingya yang sakit tidak dapat rawatan. Ramai yang mati, terutama kanak-kanak
dan orang tua.
Sekolah
untuk anak-anak Rohingya ditutup dan tidak dibenarkan dibuka walaupun dipohon,
walhal sekolah untuk anak-anak Rakhine diteruskan.
Kami
juga mendapat berita bahawa pihak kerajaan kini melakukan bancian dari kalangan
masyarakat Rohingya dan memaksa mereka secara
kekerasan untuk mengaku bahawa mereka keturunan Benggali dan datang dari
Bangladesh. Apabila tidak mengaku mereka
diugut. Adalah dikuatiri bahawa bancian itu dilakukan oleh pemerintah sebagai
bukti untuk menunjukkan bahawa orang Rohingya ini sebenarnya adalah kaum
pendatang dari Bangladesh dan tidak layak diberikan taraf kewargenaraan Burma.
Anak-anak
muda, golongan ilmuan dan ahli perniagaan terpaksa melarikan diri untuk pergi ke negara jiran melalui laut. Kami menerima laporan beberapa bot
ditenggelamkan dan mereka ditahan oleh pihak berkuasa negara jiran. Bagi pemerintah Burma, mana-mana bot yang
membawa orang ramai (Rohingya) untuk melarikan diri mereka tidak tangkap.
Tujuannya, supaya orang Rohingya meninggalkan Arakan.
Kami
juga mendapat laporan bahawa ada pihak yang memasuki kampung untuk memasukkan
racun dalam kolam dan saluran air. Berita ini diterima daripada saudara mara kami yang tinggal di dalam Arakan –
kawasan Maungdaw, Buthidaung, Rathidaung dan di kawasan selatan (Kyaktow, Mambia,
Rambri). Akibatnya, ramai dilaporkan mengidap penyakit cirit-birit.
Mangsa
yang tinggal di kem-kem sementara di Akyab dan Selatan Arakan dikatakan
menerima makanan daripada Agensi Bantuan Makanan Sedunia, yang dihantar melalui
kerajaan – tetapi tidak mencukupi.
Di
Utara Arakan (Maungdaw, Buthidaung, Rathidaung)
tidak menerima bantuan makanan, ubatan dan perlindungan daripada agensi luar.
Mereka makan apa yang terdapat di kampung. Mereka pun tidak bebas keluar. Mereka hanya bertahan untuk hidup dengan
memakan bubur, umbut dan buah pisang, makanan hutan seperti pucuk-pucuk kayu
dan buah-buahan.
Begitulah
gambaran yang kami terima. Saya tidak
berani mengesahkan kebenaran cerita-cerita tersebut, tetapi ia diterima
daripada saudara mara dan rakan-rakan di sana yang masih dapat berhubung.
Itulah
gambaran umum yang kami terima. Ketegangan masih belum reda. Orang kami resah dan bimbang kerana orang
Rakhine sungguh-sungguh mengumpul kekuatan untuk melakukan keganasan yang kami
jangka akan menumpukan ke kampung-kampung pendalaman – mungkin lebih dahsyat
lagi dari yang berlaku sebelum ini.
Al-Quran
2: 190
“Dan perangilah
kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu
menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang menceroboh.”
|
Jika begitu keadaannya adakah Ustaz yakin konflik perkauman di
Arakan ini boleh ditamatkan?
Ustaz Jaber: Saya tidak optimis sekali keadaan akan menjadi baik. Tiupan semangat kebencian terhadap masyarakat
Rohingya begitu tebal ditanamkan kepada masyarakat yang majoritinya
berketurunan Buddhist – khususnya Rakhine Buddhist.
Murid-murid
di sekolah diajar bahawa Rohingya adalah keturunan Benggali dan kaum pendatang
dari Bangladesh!
Usaha
untuk menghapuskan bangsa Rohingya ini sudah menjadi satu agenda nasional dan
dianggap satu ancaman kepada keselamatan negara. Baik parti pemerintah mahupun parti
pembangkang tidak berbeza dari segi dasar terhadap etnik Rohingya – termasuk
Aung San Suu Kyi.
Saya
ulangi bahawa pembaharuan politik Burma mestilah bermula dari semakan pada
Perlembagaan di mana etnik Rohingya dan juga beberapa etnik minoriti yang lain
diiktiraf sebagai warganegara. Pada masa
yang sama, anggota keselamatan (polis dan tentera) yang menjaga ketenteraman
awam dan keselamatan negara perlu bersifat profesional dalam melaksanakan
undang-undang dan tidak memihak. Manakala sami-sami Buddha juga perlu menerima
kepelbagaian etnik dan agama dan dilarang meniup api perkauman.
Apabila
rakyat boleh hidup dalam suasana aman damai serta boleh menerima kepelbagaian
etnik dan agama, saling mempercayai antara satu sama lain, maka usaha untuk
melaksanakan pelbagai pelan transformasi pembangunan negara untuk memakmur dan mensejahterakan
rakyat akan mudah dilakukan. Jika tidak, Burma akan terus ketinggalan dan apa
jua usaha pembaharuan yang cuba dilakukan akan menjadi sia-sia belaka - ibarat
membina ‘istana pasir’ di tepi pantai yang keindahannya akan dimusnahkan oleh
ombak yang melanda dalam sekelip mata sahaja.
Berdasarkan
pelbagai halangan dan permasaalahan yang saya sebutkan itu maka bagi hemat saya
harapan untuk melihat sebuah negara Burma yang aman, makmur dan tinggi
tamadunnya masih lagi kabur. Kepada
Allah kita berserah!
Bagaimana
pandangan Ustaz tentang dakwaan bahawa Rohingya ini kaum pendatang dari
Bangladesh?
Kalau
hendak bercerita dari segi sejarah kewujudan etnik Rohingya di Arakan akan
mengambil masa yang panjang dan memerlukan pengesahan daripada pakar sejarah atau
ahli akademik yang berwibawa.
Secara
ringkasnya bolehlah saya katakan bahawa bangsa Rohingya telah wujud
berkurun-kurun dalam sebuah negara Arakan yang luas dan pernah mempunyai sistem pemerintahan
beraja sebelum era penjajahan British lagi. Arakan merupakan sebahagian dari
takluk India, hingga Chittagung suatu ketika dahulu. Fakta Ini tidak boleh
dinafikan dari segi sejarah. Hanya
semasa pemerintahan British Arakan diletakkan di bawah Burma. Perkara ini
terjadi sebelum kewujudan Bangladesh.
Jadi,
yang memesongkan sejarah Rohingya adalah pemerintah yang dikuasai tentera,
pemimpin agama dan Buddhist intelectuals
yang radikal. Sejak 1989 nama Arakan digantikan dengan ‘Rakhine State’ –
seolah-olah wilayah itu milik penduduk dari etnik Rakhine!
Kalau
etnik Rohingya dianggap sebagai pendatang bagaimana pula kedudukan etnik-etnik lain, termasuk Barma?. Asal usul
mereka juga tidak mustahil hasil migrasi dan integrasi dengan bangsa dari
negara-negara jiran seperti China, Laos, Tibet, Nepal dan Thai yang
bersempadanan dengan Burma. Jika kita melihat mereka dari segi kulit dan paras
rupa memang banyak persamaan. Atas sebab itu bolehkah kita katakan bahawa kaum
Bamar juga sebagai pendatang?
Akhir sekali kami ingin bertanya tentang keadaan masyarakat
pelarian Rohingya, termasuk di Malaysia.
Babagaimana Ustaz melihat masa depan mereka, termasuk keluarga Ustaz
yang tinggal di sini sejak hampir 20 tahun yang lalu?
Ustaz Jaber: Saya tidak dapat bercakap tentang rakan-rakan pelarian Rohingya
yang tinggal di negara asing. Bagi saya dan saudara-mara serta rakan sebangsa
yang tinggal di Malaysia, ada yang sudah tinggal di sini seawal tahun 1989,
perasaan kami sepatutnya berbunyi ‘hujan emas di negeri orang hujan batu di
negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’.
Di sini saya songsangkan pepatah
Melayu itu ‘Hujan emas di negeri orang memang
jauh lebih baik dari negeri sendiri’.
Sungguhpun
Kerajaan Malaysia belum lagi menandatangani ‘Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu
Berkenaan Masyarakat Pelarian’ namun kehadiran masyarakat Rohingya diterima
disini. Pihak berkuasa seperti polis dan
imigresen bersikap bertimbang rasa selagi masyarakat kami mematuhi
undang-undang negara ini.
Susah
senang kami dapat juga mencari sedikit punca
rezeki dan tidaklah ada orang kami yang terpaksa hidup merempat dengan memakan pucuk
kayu seperti yang berlaku sekarang di Arakan.
Anak-anak
kami yang kebanyakannya lahir di Malaysia dan bagi mereka inilah tanah air
mereka. Kami bangga anak-anak ini fasih berbahasa Melayu dan memakai baju
kurung dan sukar hendak membezakan yang mereka ini orang pelarian. Cuma
anak-anak kami ini tidak dapat memasuki sekolah bantuan Kerajaan disebabkan
kekangan dari segi undang-undang. Untuk mengikuti pengajian di sekolah swasta
jauh dari kemampuan kami.
Namun,
sebagai ganti, boleh dikatakan anak-anak kami menerima pendidikan agama melalui
sistem madrasah yang diwujudkan di mana-mana ada penempatan masyarakat Rohingya.
Kami
juga bersyukur beberapa buah madrasah biasa mendapat sumbangan daripada
institusi-institusi zakat yang disalurkan kepada Majlis Ulama Rohingya (MUR)
melalui beberapa buah NGO Muslim. Namun, sumbangan ini tidaklah tetap dan jauh
dari mencukupi.
Pihak
MUR terpaksa mengharap bantuan dan sumbangan masyarakat Islam untuk memastikan
murid-murid seramai lebih kurang 1,500 orang itu mendapat asas pendidikan Fardu
Ain dan pengajian Al-Quran disamping berpeluang mempelajari matapelajaran
akademik seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Itu pun
bergantung kepada adanya dana serta adanya guru yang bersedia mengajar dengan
hanya dibayar sedikit honorarium.
Masyarakat
Rohingya juga berterima kasih kasih kepada Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan
Future Global Network Foundation (FGN) yang berjaya memperolehi dana dari UNHCR
untuk membuka 2 buah ‘Rohingya Education
Centre (REC)’ – satu di Seberang Perai dan sebuah lagi baru buka di Klang.
Dikedua buah pusat pendidikan ini murid-murid yang terdiri lebih 200 anak-anak
Rohingya kesemuanya belajar mengikuti kurikulum KBSR.
Secara
umumnya, seramai lebih 30,000 masyarakat pelarian Rohingya yang tinggal di
Malaysia ini amat bersyukur dan kami berdoa semoga kampung halaman kami di
Arakan akan satu hari nanti aman seperti Malaysia.
Oleh
itu sebagai orang Islam kita perlu bersabar seperti yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat, 2: 177):
“Apabila kita
berbicara tentang sabar, ertinya kita menyentuh soal keimanan sebagaimana
firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan orang yang bersabar dalam musibah,
penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka
itulah orang yang bertaqwa.”
Sebagai ibubapa
kami amat risau memikirkan untung nasib masa depan anak-anak kami. Dada mereka
perlu diisi dengan ilmu. Hanya dengan ilmu mereka akan dapat mengatasi cabaran
hidup. Hanya dengan berilmu, duniawi dan ukhrawi, mereka dapat menjadi manusia
yang beriman dan bertaqwa yang berguna kepada bangsa dan agama. Kami sangat
bimbang kepada anak-anak yang tidak berilmu akan menjadi parasites kepada agama dan masyarakat.
Kepada saudara
Muslimin dan Muslimat yang berhajat memberi sumbangan ikhlas untuk pembangunan
pendidikan anak-anak masyarakat pelarian Rohingya bolehlah berbuat demikian
dengan menghantar cek berpalang atas nama ‘Majlis Ulama Rohingya (MUR)’ dan
poskan kepada:-
BENDAHARI
MAJLIS
ULAMA ROHINGYA (MUR)
No.
16, 2A Jalan Suria Setapak,
Taman
Suria Setapak
53000
Kuala Lumpur
Tel/Fax:
03-40223444
H/P: 017-354-9311
Email:
majlisulamarohingya_mur@yahoo.com
atau, didepositkan
terus ke dalam akaun bank pertubuhan kami seperti berikut:-
No. Akaun: 2007021000029939 (MAJLIS ULAMA
ROHINGYA (MUR)
Alamat bank: AGRO BANK
Ibu Pejabat Agro Bank
Kuala Lumpur
No. Tel:
03-27311600 No. Fax: 03-26914599
Kepada
Muslimin dan Muslimat yang bersimpati dan banyak menyumbang dengan ikhlas untuk
kebajikan dan pembangunan pendidikan
anak-anak masyarakat pelarian Rohingya di sini saya cuma dapat menyatakan kesyukuran
dan ucapan ribuan terima kasih, sesuai dengan ayat Quran di bawah ini:-
Al-Quran (Surah Al- Baqarah) Ayat 261
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya
pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh
tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah),
Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah
Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
|
Ada apa-apa lagi yang Ustaz ingin nyatakan?
Ustaz Jaber: Saya bagi pihak Majlis Ulama Rohingya (MUR) dan masyarakat pelarian
Rohingya di Malaysia sukacita menyatakan setinggi penghargaan dan terima kasih
kepada pihak kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak
yang mengizinkan kami tinggal di Malaysia. Kami juga berterima kasih atas sifat
ehsan dan bantuan yang dihulurkan kepada masyarakat Rohingya, terutama bantuan
kemanusiaan atas inisiatif Pemuda 1Malaysia yang dihantar melalui kapal laut ke
Akyab (Sittwe) baru-baru ini.
MUR
juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua masyarakat Malaysia yang
telah menghulurkan sumbangan derma untuk mangsa tragedi keganasan etnik di
Arakan yang dibuat melalui beberapa parti siasah, institusi zakat, NGO-NGO dan kutipan melalui masjid serta madrasah
di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Sebanyak RM150,000 yang diterima oleh MUR setakat ini telah pun
diagihkan kepada mangsa yang terlibat di beberapa buah kampung di selatan dan
utara Arakan serta kem-kem pelarian di Bangladesh.
MUR
juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Muslimin dan Muslimat yang telah
menyertai ibadah qurban untuk masyarakat Rohingya baru-baru ini (1434h). Berita
mengenai perlaksanaan ibadah qurban itu akan dimuatnaik dalam blog MUR nanti.
Ribuan
Terima kasih saudara Muslimin dan Muslimat ku.
‘Allah
Hu Akbar! Allah Hu Akbar, Allah Hu Akbar!’