Monday 30 May 2011

AN INTRODUCTION BY THE PRESIDENT


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!


Sebagai Pengerusi MUR yang baru, Ustaz Mohd. Jaber berikrar untuk meneruskan visi murni Ustaz Mohamad Amin untuk memantapkan lagi tahap pendidikan akademik dan pengajian Islam anak-anak yang kini sedang belajar di 10 buah madrasah di bawah naungan MUR - dibangunkan dengan dokongan pemimpin masyarakat Rohingya di kawasan-kawasan penempatan di sekitar Lembah Klang dan negeri Pulau Pinang.  Disamping itu, usaha dan ikhtiar perlu dilipatgandakan untuk mewujudkan beberapa buah lagi madrasah yang masih belum wujud secara formal di negeri-negeri lain seperti di Kedah, Johor dan negeri-negeri di Pantai Timur semenanjung, yang mana ramai terdapat masyarakat pelarian Rohingya bermastautin.

Menurut Ustaz Jaber lagi, pendidikan adalah menjadi agenda utama MUR memandangkan kanak-kanak pelarian Rohingya (yang jumlahnya dianggarkan 2,000 orang) tidak berpeluang mendaftar sebagai pelajar di sekolah bantuan kerajaan disebabkan status mereka sebagai masyarakat pelarian (yang tidak mempunyai sebarang identifikasi diri) terdapat kekangan dari segi undang-undang negara ini.  Untuk mendapat pendidikan di sekolah swasta adalah jauh dari kemampuan kami.

Ustaz Jaber menegaskan bahawa pendidikan adalah kunci kejayaan hidup. Hanya melalui pendidikan akan berupaya mentransformasikan anak-anak ini  menjadi insan yang berilmu, beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wataala.

Selain daripada itu, MUR juga akan melipatgandakan program dan aktiviti dakwah di kalangan masyarakat Rohingya dewasa yang dianggarkan sekitar 25,000 di Malaysia. Majoriti masyarakat Rohingya yang diusir dari Rakhine State (dahulunya Arakan), yang terpaksa menjadi masyarakat pelarian di Malaysia dan di negara-negara lain, amat rendah dalam pengetahuan agama Islam (termasuklah dalam bab Fardu Ain). Keadaan ini berlaku disebabkan ajaran dan aktiviti berbentuk keagamaan yang digerakkan oleh golongan ulamak sentiasa disekat dari berkembang dan tertakluk kepada pelbagai jenis diskriminasi oleh rejim junta Myanmar.

Oleh itu, Ustaz Mohd. Jaber amat berharap semoga Kerajaan Malaysia (melalui jabatan dan agensi agama Islam serta pelbagai NGO di negara ini) dapat membantu dan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan gerakan pendidikan dan dakwah serta pengukuhan aqidah Islamiah di kalangan masyarakat Rohingya dapat diperhebatkan lagi – selari dengan semangat yang diberikan oleh kaum ansar terhadap golongan muhajirin pada zaman penghijrahan pimpinan Rasulullah a.s dari kota Mekah ke Madinah dahulu.

Wassalam.

USTAZ MOHD JABER BIN MOHD SUBAHAN
Presiden
Majlis Ulama Rohingya (MUR)


Surah Al-Kahf 18:46



Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More