Monday 13 May 2013

WAWANCARA DENGAN USTAZ RAHIMULLAH, NAIB PENGERUSI MUR


[Ustaz Rahimullah, Naib Pengerusi Majlis Ulama Rohingya (MUR) telah berpeluang menziarahi keluarga beliau yang tinggal di Tiknaf, bandar di sempadan Bangladesh-Burma baru-baru ini.

Berikut ini ialah temubual Ghazali Yasin (GY) dengan beliau berkisar kepada pemerhatian dan perkhabaran yang beliau kutip sendiri di kem-kem pelarian Rohingya di sekitar Tiknaf.  Disamping itu, beliau juga berkesempatan bertemu dengan beberapa pemimpin masyarakat pelarian Rohingya di situ.

Di sekitar Tiknaf terdapat lebih kurang 100 ribu pelarian Rohingya tinggal di kem-kem pelarian. Menurut Ustaz Rahimullah seramai 30,000 adalah pelarian yang berdaftar di bawah UNHCR. Manakala selebihnya tidak berada di bawah naungan UNHCR. Mereka ini tinggal di bangsal-bangsal buruk menyerupai kandang-kandang haiwan yang tidak sesuai untuk didiami oleh manusia. Mereka hidup menderita dan keadaan persekitaran sungguh kotor.

Gambar-gambar yang dipaparkan di bawah ini dirakamkan semasa beliau melawat kem-kem pelarian UNHCR.  Ustaz Rahimullah tidak mampu mengambil gambar di bangsal-bangsal penempatan pelarian Rohingya yang tidak berdaftar di bawah UNHCR itu kerana dikuatiri kamera beliau akan dirampas oleh pengawal keselamatan pihak berkuasa Bangladesh]

(Ustaz Rahimullah (kanan) sedang di wawancara oleh GY)

GY: Ustaz baru balik dari Bangladesh untuk menziarahi keluarga yang tinggal di Tiknaf  Boleh Ustaz ceritakan sedikit tentang keadaan pelarian Rohingya yang tinggal di ribuan kem di sempadan Bangladesh-Burma?

Ustaz Rahimullah:  Ia, saya baru kembali dari Tiknaf iaitu sebuah daerah di sempadan Bangladesh-Burma. Saya berada disana selama 3 bulan 25 hari – sudah lebih 5 tahun tinggal di Malaysia baru saya berpeluang menziarahi anak isteri saya yang tinggal di situ.  Di Tiknaf terdapat lebih kurang 30 ribu pelarian Rohingya di bawah naungan UNHCR. Mereka bertuah sebab menerima bantuan barang-barang  keperluan makanan asas yang cukup - tetapi tidaklah sempurna.

(Kem-kem pelarian Rohingya yang didaftar di bawah UNHCR di Tiknaf, Bangladesh)


GY: Jadi kedaan di kem-kem pelarian itu tidaklah teruk sangat Ustaz?

Ustaz Rahimullah: Di kem pelarian UNHCR, Alhamdulillah, mereka terjaga. Mereka dapat perlindungan. Kem-kem yang didirikan itu agak baik keadaannya untuk mereka berlindung dari hujan dan matahari. Pelarian di situ juga mendapat rawatan perubatan. Anak-anak mereka juga mendapat pendidikan sekular tetapi pengajian al-Quran dan Fardu Ain tidak termasuk.  Ia diajar di rumah atau tempat khas atas dayausaha beberapa mualim yang ada di kalangan masyarakat pelarian Rohingya sendiri.

(Murid-murid lelaki sedang mengikuti Pengajian Agama Islam di kem bawah naungan UNHCR) 
(Murid-murid perempuan sedang mengikuti pengajian kelas Fardu Ain}

Yang bermasaalah ialah seramai lebih kurang 70 ribu pelarian yang TIDAK berdaftar di bawah UNHCR. Orang tua, wanita dan kanak-kanak yang tinggal di bangsal-bangsal yang begitu dhaif seperti kandang binatang amat menyedihkan. Bangsal-bangsal itu diperbuat dari rumput, plastik dan jerami padi. Mereka ini tidak berani keluar ke bandar kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa Bangladesh.

Mereka tidak menerima sebarang bantuan kemanusiaan daripada UNHCR atau mana-mana NGO.  Untuk hidup kaum lelaki keluar awal pagi untuk membawa beca, pergi ke hutan ambil kayu untuk dijual atau mencari rebung atau sayur hutan, menangkap ikan, membantu kerja-kerja pertanian disawah atau ladang milik orang Bangladesh. Ada juga kaum wanita yang melakukan kerja sebagai pembantu rumah.orang tempatan yang berada.

Keadaan di sekitar kem yang tidak dijaga UNHCR begitu sesak dan kotor. Tidak ada kemudahan untuk tandas, elektrik dan air. Ramai yang dihinggapi penyakit seperti malaria dan ceret-beret – terutama sekali orang tua dan kanak-kanak. Mereka tidak dapat perlindungan. Makanan tidak cukup dan tidak dapat rawatan perubatan.

GY:  Kalau mereka sakit apa yang boleh mereka buat jika tidak ada doktor?

Ustaz Rahimullah:  Mereka bergantung kepada ubat-ubat herba yang dikutip dari daun dan akar kayu di dalam hutan untuk merawat malaria, ceret beret dan lain-lain penyakit. Kalau ada kelahiran baru ibu-ibu yang bersalin hanya dibantu oleh bidan kampung dari kalangan pelarian itu sendiri. Ramai ibu serta bayi yang baru lahir meninggal dunia.

GY: Apa sebab UNHCR tidak daftar dan beri bantuan kepada mereka?

Ustaz Rahimullah: Inilah kerenah kerajaan Bangladesh. Mereka tidak benarkan UNHCR atau NGO-NGO lain untuk bantu kumpulan yang tidak berdaftar ini.  Sebabnya , Kerajaan Bangladesh tidak mahu menerima pelarian baru yang datang kemudian selain daripada kumpulan 30 ribu pelarian pertama yang datang ke Bangladesh sekitar awal tahun 80an dahulu – apabila Akta Kewarnegaraan 1980 diperkenalkan yang tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai salah satu etnik Burma.

GY: Bagaimana tentang keselamatan 70 ribu pelarian yang tidak dijaga oleh UNHCR ini?

Ustaz Rahimullah: Mereka tidak mendapat perlindungan dari pemerintah. Ada kes-kes di mana beberapa kejadian berlaku anak-anak gadis yang cantik-cantik dilarikan secara paksa oleh orang tempatan yang tidak bertanggungjawab. Itu sebab orang perempuan dan anak-anak mereka tidak berani keluar dari kawasan penempatan. Walaubagaimana pun, secara amnya hubungan antara orang Bangladesh dengan masyarakat pelarian Rohingya baik – kejadian rompak, peras utut, rogol dan penculikan ada berlaku dan ia tidaklah ke tahap yang serious. Kejahatan seperti itu adalah lumrah dalam mana-mana masyarakat dan tidaklah seteruk jika dibandingkan keadaan masyarakat Rohingya di Arakan.  Cuma layanan daripada pemerintah berbeza.

GY: Tidak adakah NGO-NGO Islam atau NGO-NGO dari negara Barat yang datang menghulurkan  bantuan kepada pelarian yang tidak berdaftar ini? 

Ustaz Rahimullah: Kalau NGO-NGO Islam dari Kuwait, Turkey, negara-negara Arab yang lain (termasuk Malaysia) datang, mereka hanya boleh memasuki kawasan kem tersebut jika mendapat kebenaran daripada wakil kerajaan Bangladesh. Bantuan yang disampaikan itu diselewangkan oleh agen-agen kerajaan. Mereka yang menerima serahan bantuan itu di hadapan wakil-wakil pemerintah. Selepas pihak NGO itu balik agen kerajaan akan datang semula dan mengambil separuh barang-barang makanan atau bantuan lain  yang disampaikan kepada mangsa-mangsa pelarian Rohingya. Maknanya, tidaklah 100% bantuan kemanusiaan itu sampai kepada sasaran.

GY: Bagaimana pula dengan pendidikan anak-anak Rohingya di kem-kem yang tidak berdaftar itu?

Ustaz Rahimullah: Pendidikan – kosong!.Hanya ada pengajian al-Quran atas usaha beberapa orang mualim yang ada dalam komuniti itu. Majoriti anak-anak pelarian di situ buta huruf dan sangat kurang pengetahuan agama. Ia bergantung kepada ibu-bapa dan mualim-mualim yang tinggal bersama di kawasan itu.

(Inilah wajah kanak-kanak yang hidup dalam kedhaifan)

GY: Setakat ini ramaikah lagi pelarian baru Rohingya yang datang ke sempadan Bangladesh?

Ustaz Rahimullah:  Keadaan mereka yang masih berada di Arakan sentiasa dalam ketakutan. Perasaan mereka tak ubah seperti menunggu giliran malaikal maut. Mereka sentiasa dizalimi .Mereka yang mampu bayar untuk sewa bot atau sampan akan bersungguh-sungguh mencuba untuk keluar dari Arakan. Pihak berkuasa Burma tidak halang mereka keluar. Tetapi apabila sudah keluar mereka tidak dibenarkan masuk semula dalam Arakan. Sempadan Bangladesh-Burma dan kawasan pantai sentiasa dikawal rapi oleh tentera sempadan yang dikenali sebagai nasaka. Bagi yang tidak mampu keluar terpaksalah tinggal dalam ketakutan di Arakan.

(Beginilah keadaan pelarian Rohingya menaiki bot yang sarat muatan meinggalkan Arakan)


GY:  Berapa ramai masyarakat Rohingya yang masih berada di Arakan?

Ustaz Rahimullah:  Melalui maklumat yang saya terima daripada orang pelarian di sana masih ramai lagi yang tinggal di Arakan. Saya tidak pasti berapa jumlahnya. Ada dua kumpulan. Satu kumpulan  tinggal di Selatan Arakan (Akyab, Kyakpyu, Mambiya). Mereka tinggal di kem-kem sementara. Makanan mereka (Cuma  asas seperti beras, tepung, minyak masak dsbnya) dijaga. Manakala di utara Arakan (Maungdaw, Bauthidaung) mereka tinggal di kampong-kampong pendalaman dan terpaksa bergantung hidup dengan apa yang ada di sekitar kampung dan hutan.  Di Rathidaung bulih dikatakan sebelah Timur sudah hapus. Rumah dibakar, orang dibunuh. Ada juga yang sempat lari ke perkampungan lain. Disebelah Barat Arakan masih ada lagi.

GY: Bagaimana masyarakat Islam Rohingya yang masih tinggal di Arakan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim?

Ustaz Rahimullah:  Di dalam Arakan semua masjid dan madrasah ditutup. Sekolah-sekolah untuk anak-anak orang Buddhist dibuka tetapi sekolah untuk masyarakat Rohingya ditutup. Sekarang semua masjid langsung tidak diberi kebenaran untuk digunakan. Pihak tentera sendiri yang mengunci pintu-pintu masjid. Ada juga cerita yang kami dengar - di Bauthidaung - di mana sekumpulan masyarakat Islam seramai lebih 30 orang ingin mendirikan solat Jumaat di mana Imam bersama 11 orang makmum ditanggap dan di penjarakan. Mereka tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa dan sehingga sekarang nasib mereka tidak diketahui. Ada juga ustaz yang didapati mengajar di rumah juga ditanggap  dan dipenjarakan. Begitulah zalimnya pemerintah Burma ini.

Di kem pelarian sekitar Tiknaf ada beberapa buah madrasah didirikan untuk pelarian Rohingya di bawah naungan UNHCR  Di penempatan yang tidak di bawah UNHCR tidak ada madrasah – mereka terpaksa pergi ke masjid-masjid di kampung-kampung masyarakat Bangladesh. Itulah baiknya masyarakat Islam Bangladesh. Mereka menerima pelarian Rohingya untuk berkongsi sembahyang di masjid atau di madrasah-madrasah di bawah kawalan mereka. Cuma halangan dari pihak pemerintah.

GY:  Tahun lepas Presiden Barack Obama ada melawat Burma. Selepas lawatan ada tidak perubahan transformasi politik berlaku sepertimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Thein Sein?

Ustaz Rahimullah: Sebelum Presiden Obama datang  konflik perkauman berlaku antara masyarakat Rakhine Buddhist dengan masyarakat Rohingya Islam . Sekarang ini kebencian terhadap masyarakat Islam merebak ke seluruh masyarakat Islam di Burma (Mandalay, Miktila, Ukkan, Yangon )-  iaitu, termasuk orang Islam yang bukan etnik Rohingya. Inilah hasil propaganda yang dilakukan oleh pemerintah Burma yang bersekongkol dengan masyarakat Rakhine serta sami-sami Buddha yang begitu berpengaruh di kalangan masyarakat Burma yang majoritinya beragama Buddha.

(Inilah rupa Madrasah Tahfiz Al-Sadikkiah yang dibakar sekitar bulan Mac 2012 –
mengorban 17 orang murid yang sedang nyenyak tidur)


Pada 21,22 dan 23 Mac 2013 yang lalu berlaku satu lagi keganasan kaum yang melibatkan orang Islam dengan masyarakat Buddhist di Miktila, Mandalay State, Myanmar.  Dalam pergaduhan tersebut sebuah kedai emas kepunyaaan orang Islam musnah di bakar dan 13 buah Masjid serta 13 buah kampung yang dihuni penduduk Islam juga dibakar.  Angka kematian dikatakan sekitar 300 orang (media cuma melalaporkan sekitar 200 orang).

Menurut berita yang diterima kejadian berpunca dari pergaduhan yang melibatkan seorang Buddhist yang cuba menjual emas palsu kepada pekedai emas Muslim di Miktila.  Apabila saudagar emas itu enggan menerima sebab emas itu cuma disalut di bahagian luar maka pertengkaran berlaku. Tidak lama kemudian sekumpulan Buddhists datang membelasah saudagar emas itu sehingga mati dan membakar kedai tersebut. Orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian melaporkan bahawa semasa kejadian itu berlaku terdapat tentera keamanan pemerintah Burma berada berdekatan tetapi mereka hanya memerhati dari jauh dan tidak sedikit pun cuba meleraikan keadaan.

Selepas dua minggu dari kejadian itu di sekitar Yangon sebuah Madrasah Tahfiz Al-Sadikkiah dibakar (lihat gambar di atas). Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah malam di mana sekumpulan pengganas Buddhist telah membakar madrasah tersebut. Dalam kejadian itu seramai 17 orang murid terbakar hidup-hidup manakala yang lain sempat menyelamatkan diri.

GY:  Disamping pulang menziarahi keluarga adakah Ustaz lakukan kerja-kerja lain?

Ustaz Rahimullah:  Saya juga berkesempatan berjumpa dengan beberapa mualim dan pemimpin masyarakat di kem-kem pelarian di sekitar Tiknaf.  Sekarang ini MUR ada menjalin hubungan dengan tokoh-tokoh ulama , ketua masyarakat Rohingya di Bangladesh. Malah MUR ada wujudkan ‘branches’ di bukan sahaja di bandar-bandar malah di kem-kem pelarian Rohingya di Bangladesh. Atas faktor keselamatan maka saya tidak berani memaparkan butir-butir perbincangan dan gambar pertemuan dengan aktivis dan ulama Rohingya dan Bangladesh di sini.

GY:  Mampukan MUR beri bantuan kepada pelarian ini?

Ustaz Rahimullah:  Dulu ada. MUR ada beri bantuan barang makanan , menyalurkan sumbangan binatang qurban yang kami terima daripada beberapa NGO – khususnya dari NGO-NGO Islam Turki, German dan Malaysia.

Pada tahun ini MUR harap dapat menerima bantuan daripada saudara Islam, agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi zakat, termasuk Muslimin-Muslimat tempatan atas dasar fisabilillah.

GY:  Bagaimana MUR dapat menyampaikan bantuan kepada pelarian ini?

Ustaz Rahimullah:  Oleh kerana MUR mempunyai hubungan dengan pemimpin masyarakat di kem-kem pelarian di bawah naungan UNHCR dan juga di penempatan yang bukan dibawah kawalan UNHCR maka kami dapat bagi sumbangan yang diterima daripada NGO-NGO antarabangsa, tempatan serta agensi-agensi kerajaan yang lain sampai ke sasaran. Pemimpin-pemimpin MUR ada jalan (cara) untuk memastikan bantuan kemanusiaan itu tidak diselewengkan oleh wakil pemerintah Bangladesh.

Saya difahamkan oleh ketua masyarakat pelarian Rohingya di kem-kem pelarian itu bahawa bantuan-bantuan yang diberi oleh pemimpin atau wakil NGO antarabangsa dan dari Malaysia tidak sampai sepenuhnya kepada sasaran – ia dihijack oleh pihak pemerintah. Pemimpin-wakil NGO yang menghantar bantuan itu terpaksa melalui saluran formal – melalui kerajaan. Pendekatan sedemikian kurang berkesan. Semasa penyerahan dibuat nampak ok tetapi sumbangan itu dirampas kemudiannya.

Bantuan kemanusiaan yang dihantar kepada pelarian Rohingya di wilayah Arakan juga begitu. Gambar-gambar diambil untuk tujuan publisiti semata-mata.  Jumlah yang terlalu sedikit yang sampai kepada mangsa Rohingya manakala kebanyakan bantuan itu disalurkan untuk masyarakat Buddhist!

GY:  Beberapa banyak sumbangan diterima daripada agensi kerajaan dan NGO dari Malaysia Ustaz?

Ustaz Rahimullah:  Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak pun ada menyampaikan bantuan kepada mangsa Rohingya yang terlibat dari keganasan kaum dengan etnik Rakhine tahun lepas. Selain itu agensi zakat seperti Pusat Urus Zakat Selangor, beberapa NGO seperti Future Global Network Foundation (FGN), Global Peace Mission, IKRAM dan beberapa pertubuhan siasah seperti UMNO dan PAS menyumbang. Tidak kurang ramainya Muslimin-Muslimat yang prihatin menghulurkan sumbangan melalui MUR. Setinggi penghargaan dan ribuan terima kasih diucapkan kepada pemimpin-pemimpan yang menyumbangkan derma dan kami berharap pada tahun ini ramai lagi pihak yang tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan untuk disalurkan kepada masyarakat Rohingya yang tinggal di kem-kem pelarian sempadan Bangladesh serta mangsa-mangsa keganasan kaum yang masih berada di bumi Arakan.

GY:  Apakah harapan Ustaz untuk masa depan masyarakat Rohingya di dalam Arakan dan yang menjadi pelarian di Malaysia dan negara-negara lain?

Ustaz Rahimullah:  Semua masyarakat Rohingya mengharapkan pemerintah Myanmar di bawah pimpinan Thein Sein akan menghentikan program keganasan dan penghapusan etnik terhadap masyarakat Rohingya – Sudah bertahun-tahun kekejaman seperti penangkapan, peras ugut, pembunuhan, rampasan harta, kemusnahan tempat tinggal, masjid dan kampung halaman dilakukan. Akibatnya hampir 1.2 juta masyarakat Rohingya menjadi pelarian yang menimbulkan masaalah bukan sahaja kepada kami bahkan juga kepada negara-negara penerima yang terlibat.  Kekejaman berlaku bukan sahaja yang terbaru pada bulan Mac yang lepas malah sejak 1980 lagi apabila etnik Rohingya digugurkan hak kewarganegaraan melalui Citizenship Law. Peranan dan kesungguhan PBB, kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain, Russia, Perancis serta pertubuhan serantau seperti European Union, OIC dan ASEAN sehingga kini masih tidak berjaya menyelesaikan konflik di Arakan. Ini dipersoalkan.  Pemimpin-pemimpin dunia dan serantau hanya berkokok sahaja tetapi tidak dapat menghalang kezaliman berterusan terhadap masyarakat Islam Rohingya oleh rejim Burma yang diwarisi oleh bekas jeneral tentera yang zolim ini. Harapan kami ialah supaya Etnik Rohingya berjaya untuk mendapat kembali hak kerakyatan yang sah dan sesungguhnya tentera pengaman PBB patut dihantar ke Arakan bagi mengawal keganasan etnik antara Rakhine Buddhist dan Rohingya Muslim supaya pembunuhan dan kezaliman terhadap etnik Rohingya dapat ditamatkan 




(Anak-anak yang mati untuk disemadikan – kain kapan pun tidak mampu disediakan)

Di Malaysia keadaan pelarian Rohingya di sini sangat baik. Kami sangat-sangat menghargai bantuan daripada Kerajaan, institusi-institusi zakat, NGO Muslim dan Muslimin dan Muslimat yang begitu bermurah hati membantu kebajikan masyarakat Rohingya yang tinggal di beberapa penempatan di sekitar Klang, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Trengganu dan Kedah. Kami memohon juga doa daripada semua pihak supaya wujud pemimpin yang berperikemanusiaan di Burma dan Rohingya diberi pembelaan sewajarnya. Wallahualam! 
















SUMBANGAN PEMBINAAN SEBUAH MASJID DI MADURA, INDONESIA


Sheikh Ahmad Sayid Ahmad M. Alimaddin, seorang ulama dan juga hartawan keturunan etnik Rohingya yang bermastautin di Arab Saudi, telah berhajat untuk menyumbangkan wang untuk pembangunan sebuah masjid di Indonesia.

Dengan kerjasama pemimpin MUR, Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan sebuah masjid di Madura telah dipilih. Sumbangan telah disampaikan oleh Ustaz Mohd. Jaber kepada Masjid di Kampung Anyir, Desa Penyirangan Kecamatan Pengerman Sampang, Madura, Indonesia pada 24hb April 2013. 

(Dari kiri: Ustaz Mohd. Jaber, Sheikh Ahmad Sayid M. Alimaddin,
 KH Muhd Tahir bin Mukhtar dan Haji Mukhsin bin Yatim)
Yang menerima sumbangan derma itu ialah pegawai masjid, KH Mohd. Tahir bin Mukhtar dan disaksikan oleh Sheikh Ahmad Sayid sendiri. Saksi bagi pihak masjid ialah Tuan Haji Mukhsin bin Yatim merangkap Setiausaha Masjid tersebut.

Masjid tersebut dipilih oleh kerana masjid lama yang berusia 80 tahun sudah terlalu usang – lantai dan dinding sudah reput, atapnya bocor sana-sini. Selain daripada itu ramai penduduk yang tinggal di sekitar kampung itu agak miskin – Kehidupan bergantung kepada tanaman padi dan sayur-sayuran.

Sungguhpun ada sumbangan diterima tetapi dana terkumpul setakat ini masih lagi belum mencukupi untuk menyiapkan sebuah masjid yang sempurna.  

Oleh itu, Ustaz Mohd. Jaber telah memberi harapan kepada pegawai masjid di Madura itu bahawa rayuan daripada pihak mereka akan disebarkan untuk makluman Muslimin dan Muslimat di Malaysia. 

Ustaz Jaber yakin ramai dari kalangan orang Islam di Malaysia (yang selama ini banyak membantu masyarakat Rohingya) akan turut bermurah hati untuk menginfaq bagi  pembangunan sebuah masjid – satu tujuan yang sangat-sangat mulia di sisi Allah Subahanataala. Semoga sumbangan Muslimin dan Muslimat akan membantu meningkatkan syiar Islam di pulau Madura.

Sesiapa yang berhajat menyumbang butir-butir akaun bank adalah seperti berikut:-


                          RANTOR CABANG MADURA
                          NO. REKENING 0191522993
                          NAMA:  BAPAK MOH. MUKSIN. H
                          BANK BNI
                          NO MOBILE:  081703920835




Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More