Wednesday 19 December 2012

LAPORAN TENTANG AGIHAN SUMBANGAN IBADAH QURBAN 1434 HIJRAH

Ustaz Mohd Karim Bin Fazal Karim
Setiausaha Agung
Majlis Ulama Rohingya (MUR)


Sempena Sambutan Eidul Adha 1434 Hijrah pihak Majlis Ulama Rohingya (MUR) telah menerima sumbangan ibadah qurban daripada beberapa NGO tempatan dan antarabangsa untuk diagihkan kepada masyarakat pelarian Rohingya yang tinggal di Bangladesh dan Malaysia. 

Pihak MUR juga berjaya mengaturkan penghantaran sumbangan qurban dan aqiqah untuk disampaikan kepada masyarakat Rohingya yang tinggal di beberapa perkampungan pendalaman dalam wilayah Arakan. Untuk pengetahuan umum, penyembelihan binatang qurban adalah diharamkan oleh pemerintah Burma. 

Namun, oleh kerana ibadah qurban ini berlaku setahun sekali dan menjadi kelazimannya menerima daging qurban ini adalah masa yang paling di nanti-nanti oleh umat Islam di wilayah Arakan.  Ramai di kalangan warga Islam di Arakan hanya dapat menikmati lauk daging setahun sekali – iaitu daging qurban yang diterima hasil sumbangan Muslimin dan Muslimat daripada beberapa negara Islam (termasuklah dari Malaysia).

Berikut ini saya sukacita melaporkan pengagihan binatang qurban (lembu) dan aqikah (kambing) yang diterima daripada pelbagai pihak untuk masyarakat Rohingya:-

(1) Sumbangan daripada Global Peace Mission (GPM):  10 ekor lembu telah dihantar untuk diagihkan kepada masyarakat Rohingya yang tinggal di kem pelarian di sempadan Bangladesh-Burma.

(2)    Sumbangan daripada IKRAM:  6 ekor lembu dan 25 ekor kambing untuk pelarian Rohingya di Bangladesh; 1 ekor kepada penduduk Rohingya yang bermastautin di sekitar Jalan Meru (Klang); 1 ekor lembu untuk masyarakat Rohingya yang tinggal di sekitar Jalan Gombak; 20 ekor lembu untuk masyarakat Rohingya di wilayah Arakan (dibuat secara rahsia).

(3)  Sumbangan daripada orang ramai:  36 ekor lembu diterima sumbangan orang ramai. 12 ekor dihantar untuk masyarakat pelarian di Bangladesh, dan 24 ekor lembu qurban dan 10 ekor kambing aqikah dihantar ke Arakan (secara rahsia).

(4)  Sumbangan daripada sebuah NGO German disalurkan melalui Global Peace Mission (GPM):  114 ekor lembu diagihkan kepada masyarakat Rohingya yang tinggal di beberapa buah penempatan di negeri-negeri Trengganu, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan. 

DALIL IJMA’ ULAMAK

Para ulamak Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan korban berdasarkan ayat dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan korban merupakan amalan yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Korban juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

“ Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (Surah As-Soffaat : ayat 107)

Saya, bagi pihak pimpinan Majlis Ulama Rohingya (MUR) mengambil kesempatan di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang ibadah qurban/aqikah sempena sambutan Eidul Adha 1434H.

Pihak MUR juga ada mengeluar dan mengirimkan Sijil Penghargaan kepada semua pihak yang menghantar sumbangan qurban/aqikah.

Kami doakan semoga Allah s.w.t memberi ganjaran pahala yang sewajarnya kepada Dato’/Datin/Tuan/Puan yang budiman.
Dengan hormatnya,

Ustaz Mohd. Karim bin Fazal karim
Setiausaha Agung
Majlis Ulama Rohingya (MUR)
 


Sunday 9 December 2012

A CALL FOR COMPASSION FOR THE ROHINGYAS


[Seventeen (17) renowned world Buddhist leaders (plus HE Dalai Lama in absentia) issued a statement urging the Burmese Buddhists to end violence and ethnic cleansing against Rohingyas in Burma. The statement which was lifted from TRICYCLE’s website (http://www.tricycle.com/blog/world-buddhist-leaders-response-growing-ethnic-violence-against-muslims-myanmaris) is appended below.

This call for compassion and mutual respect by the respectable world Buddhist leaders was well received by the leadership of Majlis Ulama Rohingya (MUR). MUR hopes that the Buddhist friends in Burma (specifically Rakhine State) be more humane and heed the advice made by the world Buddhist leaders in line with the most fundamental Buddhist principles of ahimsa and non-violence, mutual respect and compassion.   

World Buddhist Leaders Response to the Growing Ethnic Violence Against Muslims in Myanmar

In response to the recent ethnic violence against Muslims in Burma's Rakhine state, which has often been supported and perpetuated by the area's Buddhists, international Buddhist leaders have produced this statement, due to be published in Burmese newspapers this week:

WORLD BUDDHIST LEADERS RESPONSE
 TO THE GROWING ETHNIC VIOLENCE AGAINST MUSLIMS IN MYANMAR



To Our Brother and Sister Buddhists in Myanmar,

As world Buddhist leaders we send our lovingkindess and concern for the difficulties the people of Myanmar are faced with at this time. While it is a time of great positive change in Myanmar we are concerned about the growing ethnic violence and the targeting of Muslims in Rakhine State and the violence against Muslims and others across the country. The Burmese are a noble people, and Burmese Buddhists carry a long and profound history of upholding the Dharma.

We wish to reaffirm to the world and to support you in practicing the most fundamental Buddhist principles of non-harming, mutual respect and compassion.

These fundamental principles taught by the Buddha are at the core of Buddhist practice:

Buddhist teaching is based on the precepts of refraining from killing and causing harm.
Buddhist teaching is based on compassion and mutual care.
Buddhist teaching offers respect to all, regardless of class, caste, race or creed.

We are with you for courageously standing up for these Buddhist principles even when others would demonize or harm Muslims or other ethnic groups. It is only through mutual respect, harmony and tolerance that Myanmar can become a modern great nation benefiting all her people and a shining example to the world.

Whether you are a Sayadaw or young monk or nun, or whether you are a lay Buddhist, please, speak out, stand up, reaffirm these Buddhist truths, and support all in Myanmar with the compassion, dignity and respect offered by the Buddha.

We stand with you in the Dharma,



Ven. Thich Nhat Hanh
Nobel Peace Prize Nominee
Vietnam



Ven. Bhikkhu Bodhi
President Buddhist Global Relief
(world's foremost translator of the Pali Canon)
Sri Lanka/USA



Dr. AT Ariyaratne
Founder Nationwide Sarvodaya Movement
Ghandi Peace Prize Laureate
Sri Lanka



Ven. Chao Khun Raja Sumedhajahn
Elder, Ajahn Chah Monasteries
Wat Ratanavan, Thailand



Ven. Phra Paisal Visalo
Chair Buddhika Network Buddhism and Society
Thailand



Ven. Arjia Rinpoche VIII
Abbot Tibetan Mongolian Cultural Center
Mongolia/USA



Ven. Shodo Harada Roshi
Abbot Sogenji Rinzai Zen Monastery
Japan



Achariya Professor J Simmer Brown
Chairperson Buddhist Studies
Naropa Buddhist University
USA



Ven. Ajahn Amaro Mahathera
Abbot Amaravati Vihara
England



Ven. Hozan A Senauke
International Network of Engaged Buddhists
Worldwide



Younge Khachab Rinpoche VIII
Abbot Younge Drodul Ling
Canada



Ven. Sr. Thich Nu Chan Kong
President Plum Village Zen temples
France/Vietnam



Dr. Jack Kornfield Vipassana Achariya
Convener Western Buddhist Teachers Council
USA



Lama Surya Das
Dzogchen Foundation International
Vajrayana Tibet/USA



Ven. Zoketsu N. Fischer Soto Roshi
Fmr. Abbot largest Zen community in the West
USA/Japan



Tulku Sherdor Rinpoche
Director BI. Wisdom Institute
Canada



Professor Robert Tenzin C. Thurman
Center for Buddhist Studies
Columbia University
USA



HH the XIV Dalai Lama
Nobel Laureate
Tibet/India

Though not able to be reached in time to sign this letter, HH the Dalai Lama has publicly and repeatedly stated his concern about the Rohingya Muslims in Myanmar. He urges everyone to continue to practice non-violence and retain the religious harmony that is central to our ancient and revered culture.

Friday 7 December 2012

LAPORAN DARIPADA BENDAHARI MAJLIS ULAMA ROHINGYA (MUR)

USTAZ MOHD AYUB BIN HAJI ABDUL GHAFFAR
BENDAHARI KEHORMAT
MAJLIS ULAMA ROHINGYA (MUR)

Agihan Sumbangan RM100,000 Hasil Kutipan Pemuda PAS Pusat kepada Masyarakat Rohingya (Mangsa Keganasan) di Arakan

Sepertimana yang telah dilaporkan sebelum ini, pimpinan MUR telah menerima sumbangan sebanyak RM100,000 hasil derma orang ramai melalui inisiatif Pemuda PAS Pusat.  Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang kepada Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan, Pengerusi MUR pada 14 Ogos 2012, bertempat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Pimpinan MUR telahpun melaksanakan tanggungjawab menghantar dana yang diterima itu melalui egen-egen kewangan berdaftar di Myanmar yang kemudiannya menyalurkan kepada tokoh-tokoh ulama, ketua-ketua kampung dan aktivis-aktivis Muslim yang berwibawa untuk mereka membeli barang-barang keperluan makanan dan sebagainya dan kemudiannya diagihkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat di tempat-tempat yang dipilih.

Pimpinan MUR terpaksa menggunakan pendekatan begitu oleh kerana kami tidak boleh memasuki ke mana-mana tempat di wilayah Arakan. 

Pemilihan tokoh-tokoh yang mengagihkan bantuan di wilayah yang ditimpa tragedi itu dibuat berdasarkan kepada kewibawaan, keimanan dan ketaqwaan  tokoh-tokoh yang kami kenalpasti. Atas faktor keselamatan maka nama dan gambar  tokoh-tokoh yang menjalankan tugas fi sabil Allah itu terpaksa dirahsiakan.

Wilayah yang dipilih, jumlah bantuan yang dihantar serta AJK MUR yang dilantik untuk menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan tersebut adalah seperti berikut:-

Maungdaw:  jumlah bantuan yang dihantar - RM20,000.
AJK MUR yang dipertanggungjawabkan ialah Ustaz Mohd. Karim bin Fazal Karim, Ustaz Haji Rahimullah dan Sdra. Qutub Shah.

Buthidaung: jumlah bantuan yang dihantar - RM15,000.
AJK MUR yang dipertanggungjawabkan ialah Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan dan Ustaz Haji Abu Sayyed.

Akyab (Sittwe): jumlah bantuan yang dihantar - RM15,000.
AJK MUR yang dipertanggungjawabkan ialah Ustaz Mohd. Sattar bin Abdul Ghaffar dan Encik Abdul Khalik.

Selatan Arakan:  jumlah bantuan yang dihantar - RM30,000.
AJK MUR yang dipertanggungjawabkan adalah Ustaz Din Mohamad dan Ustaz Mohd. Zahid.

Kem Pelarian Rohingya di Bangladesh:  jumlah yang dihantar - RM20,000.
AJK MUR yang dipertanggungjawabkan ialah Ustaz Mohd. Ayub dan Ustaz Haji Rahimullah.


[Beras untuk diedarkan kepada masyarakat Rohingya
di sebuah kem pelarian Bangladesh]

Kepada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang dan Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia kami ucapkan ribuan terima kasih.

Pimpinan MUR juga mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyumbangkan derma bantuan kemanusiaan untuk masyarakat Rohingya di Arakan.  Semoga sumbangan ikhlas setiap para dermawan menerima pahala yang setimpalnya dan mendapat baraqah daripada  Allah s.w.t. Insya’Allah!

Wassalam.

Ustaz Mohd. Ayub bin Haji Abdul Ghaffar
Bendahari
Majlis Ulama Rohingya (MUR)

Thursday 29 November 2012

WAWANCARA DENGAN PENGERUSI MAJLIS ULAMA ROHINGYA (MUR)


[Pengendali blog ‘Majlis Ulama Rohingya Malaysia’ sempat menemubual Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan, Pengerusi Majlis Ulama Rohingya (MUR) baru-baru ini untuk mendapat pandangan beliau tentang kepentingan lawatan Presiden Barack Obama ke Burma pada 19 November 2012. Ustaz Mohd. Jaber juga menceritakan laporan terbaru tentang keadaan masyarakat Rohingya di bumi Arakan masakini.  Beliau juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pemerintah dan rakyat Malaysia yang banyak membantu masyarakat pelarian Rohingya yang dianggarkan berjumlah sekitar 30,000 yang berlindung di negara ini. Disepanjang temubual tersebut, Ustaz Mohd. Jaber memilih mengekalkan nama Burma dan enggan mengiktiraf ‘Myanmar’ – nama yang digunapakai sejak 1989, semasa pemerintahan rejim tentera]


Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan
Pengerusi
Majlis Ulama Rohingya (MUR)
Baru-baru ini President Barack Obama melawat Burma hanya selama 6 jam – terlalu singkat. Bolehkah Ustaz terangkan apakah makna lawatan tersebut bagi masyarakat Rohingya yang begitu lama didiskriminasi sehingga tidak diiktiraf sebagai warganagera sejak 1982?

Ustaz Jaber:  Betul, lawatan Presiden Barack Obama ke Burma terlalu singkat tetapi begitu bermakna sekali bagi masyarakat Rohingya. Pertama, ia merupakan Presiden Amerika Syarikat yang pertama (yang masih memegang jawatan) yang melawat Burma. Kedua, Obama berpeluang bersemuka dengan Presiden Thein Sein dan pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi dan menyatakan sokongan penuh terhadap reformasi politik dan reformasi ekonomi yang sedang direncanakan oleh pemerintah Burma sekarang.  Presiden Obama berterus terang membangkitkan isu pencabulan hak asasi manusia, keganasan kaum di Arakan, tahanan politik, isu kerakyatan etnik Rohingya dan kaum minoriti lain dan sebagainya yang perlu diambil perhatian dalam pembaharuan politik Burma.  Ketiga, Obama secara terbuka mengambil peluang memperjelaskan isu-isu yang dibincangkan dengan pemimpin Burma itu dalam satu pidato umum di Universiti Yangon untuk masyarakat sivil dan para mahasiswa yang keseluruhan ucapan tersebut tersebar ke seluruh dunia.

Saya berpendapat bahawa itulah kejayaan paling besar bagi masyarakat Rohingya – isu pelbagai bentuk diskriminasi, keganasan dan kekejaman terhadap masyarakat Rohingya di bumi Arakan tersebar ke seluruh dunia. Selama ini, isu Rohingya kurang mendapat perhatian dan kurang diambil peduli oleh masyarakat antarabangsa.  Ia bolehlah diumpamakan sebagai sebatang pokok besar yang tumbang di dalam hutan – bunyinya amat kuat tetapi tidak ramai orang yang mendengarnya – kecuali orang yang ada disekitar kawasan itu. Kali ini kayu besar itu (suara Obama) begitu kuat dan boleh didengar di seluruh dunia.  Walau pun, Obama berada di Burma selama 6 jam sahaja tetapi ia begitu bermakna bagi masyarakat Rohingya.

Selepas lawatan Obama ke Burma adakah Ustaz yakin pemerintah Burma akan berubah dan akan melaksanakan reformasi yang diharapkan?

Ustaz Jaber:  Saya yakin Burma akan berubah tetapi reformasi politik, sosial dan ekonomi itu tidak mungkin bertukar sepenuhnya dan tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat – terutama perubahan politik.  Ia akan mengambil masa yang lama, mungkin tidak berlaku dalam satu dekad ini. 

Kita kena realistik memahami  keadaan dalaman di negara Burma dan cabaran yang sebenar. 

Disatu pihak, Presiden Thein Sein, seorang bekas jeneral, di sokong oleh hampir 76% ahli parlimen USDP yang majoritinya terdiri dari bekas tentera.  Mereka ini sudah tentu sedaya upaya mahu mengekalkan kuasa dan tidak mahu kehilangan kuasa jika Burma bergerak ke arah demokrasi. 

Selain itu, pemerintah juga terpaksa berhadapan dengan 144 kumpulan etnik.  Jumlah etnik yang diiktiraf ialah 135 sahaja – tidak termasuk Rohingya. Pemerintah terpaksa menyelesaikan isu Rohingya, Kachin dan lain-lain etnik yang menuntut pengiktirafan kerakyatan sebelum bergerak kearah penyatuan nasional (national reconcialiation). 

Satu lagi halangan yang akan dihadapi oleh pemimpin pro-demokrasi ialah pengaruh sami-sami Buddha yang amat berpengaruh terhadap rakyat yang 95% beragama Buddha.  Pemimpin-pemimpin sami Buddha ini turut sama, bertahun-tahun, menanamkan sikap kebencian terhadap masyarakat Rohingya di kalangan rakyat yang beragama Buddha. 

Satu lagi halangan ialah China, yang berjiranan dengan Burma, yang merupakan ‘godfather’ bagi Burma.  China yang bersaing dengan Amerika sudah tentu tidak mahu melepaskan Burma dari cengkamannya – memandangkan Burma begitu penting dari segi geopolitik di rantau itu.  Selama ini, walaupun ada sanctions  namun China dikatakan terus berdagang dan membekalkan senjata kepada Burma. Jadi, sanctions UN tidak ada kesan.

Tentera, pelampau Buddha, pengaruh Beijing sendiri bolehlah kita anggap sebagai ‘bahan bakar’ yang amat mudah mencetuskan kacau bilau yang boleh menggagalkan sebarang usaha pembaharuan di Burma.

Dalam keadaan sekarang ini, Thein Sein pun nampak begitu lemah dan belum berjaya melaksanakan reformasi di Burma, Adakah pemimpin seperti Aung San Suu Kyi akan berjaya menyatukan Burma?

Ustaz Jaber:  Aung San Suu Kyi adalah seorang anak kelahiran Burma yang baik dan terpelajar.  Beliau boleh memimpin Burma sekiranya Burma diperintah secara demokrasi.  Katakanlah partinya NLD menang dalam pilihanraya 2015 nanti dan berjaya menegakkan sebuah kerajaan saya tidak jamin ia boleh bertahan lama.  Dasar dan tindak tanduk Suu Kyi akan sentiasa di’undermine’ dan dikawal oleh pemimpin tentera dan sami-sami Buddha. 

Memandangkan Aung San Suu Kyi pernah bersuamikan warganegara luar (bukan rakyat Burma), mengikut Perlembagaan beliau tidak layak menjadi presiden. Oleh itu beliau perlu mengatasi halangan utama – meminda Perlembagaan – yang memerlukan kelulusan Parlimen terlebih dahulu.

Bagi hemat saya, Suu Kyi tidak akan berani mengenengahkan sesuatu dasar yang boleh menimbulkan kemarahan puak tentera dan sami-sami Buddha.  Untuk mendapatkan kuasa politik beliau perlu sokongan majoriti.  Suu Kyi tidak mampu menyalakan obor keamanan untuk memberikan keadilan kepada Rohingya untuk  mendapat hak kerakyatan kerana sebagai ahli politik beliau sentiasa ingin meraih sokongan dan bimbang mengenai tentangan daripada masyarakat Buddhist.

Kalau Ustaz pun meragui keupayaan Aung San Suu Kyi, jadi pemimpin yang macam manakah yang Ustaz fikir boleh menyatukan Burma, yang mempunyai penduduk terdiri dari ratusan suku kaum (etnik)?

Ustaz Jaber: Saya fikir pemimpin yang bijaksana, berani, tegas, pragmatik  dan berwawasan seperti Presiden Obama dan Tun Mahathir Mohamad belum lagi muncul dalam arena politik Burma.  Kedua tokoh tersebut, bagi hemat saya, melalui ‘track records’ pimpinan mereka, berupaya menyelesaikan konflik politik dan ekonomi – iaitu memakmurkan negara dan ‘social control’ yang berkesan bagi menjaga keamanan untuk membawa rakyat keluar dari kemiskinan, walaupun tidak secara total.

Walaubagaimana pun, sistem pilihanraya, sistem perundangan dan kehakiman, sistem pentadbiran, sistem pendidikan, malah Perlembagaan Negara Burma sendiri yang banyak kepincangannya, perlu digubal semula.  Contohnya,  ‘Citizenship Law 1982’ yang menafikan hak etnik Rohingya sebagai warganegara Burma perlu dihapuskan.

Saya fikir, Burma perlu dipimpin oleh tokoh ilmuan atau aktivis yang memiliki ‘intelectual honesty’ yang tinggi, yang mendukung prinsip-etika-moral yang mulia untuk berlaku adil.  Itulah saya fikir titik permulaan kepada reformasi politik yang akhirnya dapat menyatukan beratus etnik di Burma.  Kita tidak boleh berharap kepada tentera untuk memerintah Burma, yang hanya tahu menyelesaikan konflik dengan cara kekerasan dan keganasan tanpa rasa belas kasihan.

Selepas lawatan Obama ini adakah Ustaz fikir konflik etnik di Arakan akan berakhir dan mangsa Rohingya boleh balik kampung masing-masing?

Ustaz Jaber:  Dalam situasi sekarang ini tidak mungkin seramai lebih 100,000 etnik Rohingya yang dilapurkan kehilangan tempat tinggal boleh balik ke kampung halaman masing-masing.  Rumah mereka habis musnah dan harta benda mereka turut musnah. Dari jumlah itu, saya difahamkan bahawa sebahagiannya tinggal di kem-kem yang ketat dikawal oleh tentera dan sebahagian yang lain masih berlindung di kampung-kampung pendalaman.

Pada masa ini keselamatan terkawal sedikit sebab ada campur tangan dari Obama dan pemerintah tahu bahawa semua mata seluruh dunia kini sedang memandang Burma dan menyoal – adakah janji reformasi Thein Sein akan ditunaikan?  

Sekiranya ‘curfews’ ditarik balik keadaan lebih menakutkan sebab masyarakat Rakhine dikatakan sudah mengumpul  senjata api dan pelbagai jenis senjata lain.  Lagi pun, kita tidak percaya kepada polis dan tentera.

Dalam rusuhan dahulu ramai masyarakat Rohingya yang mati disebabkan tembakan dari senjata api. Sepatutnya kerajaan perlu mewajibkan semua orang (tidak kira etnik Rakhine atau Rohingya) supaya menyerahkan segala senjata api dan alat-alat tajam yang lain yang boleh membunuh atau mencederakan, jika kerajaan betul-betul jujur mahu hentikan keganasan.

Setelah Presiden Obama melawat Burma, kini giliran pemimpin-pemimpin Eropah(EU), Russia, United Nations dan ASEAN perlu tegas untuk mendesak Thein Sein supaya menghentikan pelbagai program penghapusan etnik, iaitu memperalatkan etnik Rakhine,  yang mendapat bantuan daripada  polis dan tentera, untuk merusuh dan menzalimi masyarakat Rohingya.  Akibat dari pelbagai diskriminasi, kekejaman dan sekatan yang dikenakan terhadap etnik Rohingya maka 1.2 juta telah meninggalkan Arakan untuk hidup sebagai pelarian di Bangladesh dan negara-negara jiran, termasuk Malaysia. 

Masyarakat Rohingya hanya akan selamat untuk kembali ke kampung halaman dan memulakan kehidupan yang baru jika United Nations dapat menghantar tentera pengaman untuk mengawal keselamatan di Arakan, seperti yang berlaku di Somalia dan Lebanon.

Betulkah keadaan di Arakan masih lagi belum reda, Ustaz?

Ustaz Jaber:  Melalui berita yang baru kami terima bahawa keadaan di Arakan masih belum pulih. Keganasan dan kekacauan oleh pihak Rakhine Buddhist masih berlaku.  Tangkapan secara arbitrary masih meluas terhadap pemuda, ahli perniagaan dan golongan ilmuan.  Pihak polis dan tentera masih lagi memihak dan tidak profesional dalam menjalankan tugas.  Mereka membantu masyarakat Rakhine untuk melakukan keganasan terhadap etnik Rohingya.

Di Arakan, umat Islam tidak dibenarkan menegakkan solat Jumaat.  Begitu juga orang-orang kita tidak dibenarkan sembahyang Tarawih, menunaikan solat sunat Aidul Fitri dan solat sunat Aidul Adha serta tidak dibenarkan melakukan ibadah qurban. Namun sewaktu Aidul Adha yang lalu ibadah qurban dapat juga dilakukan secara rahsia di beberapa tempat pendalaman.

Yang menyedihkan masih berlaku wanita dirogol, termasuk anak-anak gadis belasan tahun!

Pengusiran orang Rohingya berlaku dari bandar ke kampung dengan tujuan untuk mengosongkan bandar dari masyarakat Rohingya. Contohnya, di Akyab (Sittwe) orang Rohingya kini dilarang berniaga.

Masyarakat Rohingya yang sakit tidak dapat rawatan. Ramai yang mati, terutama kanak-kanak dan orang tua.

Sekolah untuk anak-anak Rohingya ditutup dan tidak dibenarkan dibuka walaupun dipohon, walhal sekolah untuk anak-anak Rakhine diteruskan.

Kami juga mendapat berita bahawa pihak kerajaan kini melakukan bancian dari kalangan masyarakat Rohingya dan  memaksa mereka secara kekerasan untuk mengaku bahawa mereka keturunan Benggali dan datang dari Bangladesh.  Apabila tidak mengaku mereka diugut. Adalah dikuatiri bahawa bancian itu dilakukan oleh pemerintah sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa orang Rohingya ini sebenarnya adalah kaum pendatang dari Bangladesh dan tidak layak diberikan taraf kewargenaraan Burma.  

Anak-anak muda, golongan ilmuan dan ahli perniagaan terpaksa melarikan diri  untuk pergi ke negara jiran melalui laut.  Kami menerima laporan beberapa bot ditenggelamkan dan mereka ditahan oleh pihak berkuasa negara jiran.  Bagi pemerintah Burma, mana-mana bot yang membawa orang ramai (Rohingya) untuk melarikan diri mereka tidak tangkap. Tujuannya, supaya orang Rohingya meninggalkan Arakan.

Kami juga mendapat laporan bahawa ada pihak yang memasuki kampung untuk memasukkan racun dalam kolam dan saluran air. Berita ini diterima daripada saudara  mara kami yang tinggal di dalam Arakan – kawasan Maungdaw, Buthidaung, Rathidaung dan di kawasan selatan (Kyaktow, Mambia, Rambri). Akibatnya, ramai dilaporkan mengidap penyakit cirit-birit.

Mangsa yang tinggal di kem-kem sementara di Akyab dan Selatan Arakan dikatakan menerima makanan daripada Agensi Bantuan Makanan Sedunia, yang dihantar melalui kerajaan – tetapi tidak mencukupi.

Di  Utara Arakan (Maungdaw, Buthidaung, Rathidaung) tidak menerima bantuan makanan, ubatan dan perlindungan daripada agensi luar. Mereka makan apa yang terdapat di kampung. Mereka pun tidak bebas keluar.  Mereka hanya bertahan untuk hidup dengan memakan bubur, umbut dan buah pisang, makanan hutan seperti pucuk-pucuk kayu dan buah-buahan.

Begitulah gambaran yang kami terima.  Saya tidak berani mengesahkan kebenaran cerita-cerita tersebut, tetapi ia diterima daripada saudara mara dan rakan-rakan di sana yang masih dapat berhubung. 

Itulah gambaran umum yang kami terima. Ketegangan masih belum reda.  Orang kami resah dan bimbang kerana orang Rakhine sungguh-sungguh mengumpul kekuatan untuk melakukan keganasan yang kami jangka akan menumpukan ke kampung-kampung pendalaman – mungkin lebih dahsyat lagi dari yang berlaku sebelum ini. 


Al-Quran 2: 190

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”


Jika begitu keadaannya adakah Ustaz yakin konflik perkauman di Arakan ini boleh  ditamatkan?

Ustaz Jaber:  Saya tidak optimis sekali keadaan akan menjadi baik.  Tiupan semangat kebencian terhadap masyarakat Rohingya begitu tebal ditanamkan kepada masyarakat yang majoritinya berketurunan Buddhist – khususnya Rakhine Buddhist. 

Murid-murid di sekolah diajar bahawa Rohingya adalah keturunan Benggali dan kaum pendatang dari Bangladesh!

Usaha untuk menghapuskan bangsa Rohingya ini sudah menjadi satu agenda nasional dan dianggap satu ancaman kepada keselamatan negara.  Baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang tidak berbeza dari segi dasar terhadap etnik Rohingya – termasuk Aung San Suu Kyi.

Saya ulangi bahawa pembaharuan politik Burma mestilah bermula dari semakan pada Perlembagaan di mana etnik Rohingya dan juga beberapa etnik minoriti yang lain diiktiraf sebagai warganegara.  Pada masa yang sama, anggota keselamatan (polis dan tentera) yang menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara perlu bersifat profesional dalam melaksanakan undang-undang dan tidak memihak. Manakala sami-sami Buddha juga perlu menerima kepelbagaian etnik dan agama dan dilarang meniup api perkauman.

Apabila rakyat boleh hidup dalam suasana aman damai serta boleh menerima kepelbagaian etnik dan agama, saling mempercayai antara satu sama lain, maka usaha untuk melaksanakan pelbagai pelan transformasi pembangunan negara untuk memakmur dan mensejahterakan rakyat akan mudah dilakukan. Jika tidak, Burma akan terus ketinggalan dan apa jua usaha pembaharuan yang cuba dilakukan akan menjadi sia-sia belaka - ibarat membina ‘istana pasir’ di tepi pantai yang keindahannya akan dimusnahkan oleh ombak yang melanda dalam sekelip mata sahaja.

Berdasarkan pelbagai halangan dan permasaalahan yang saya sebutkan itu maka bagi hemat saya harapan untuk melihat sebuah negara Burma yang aman, makmur dan tinggi tamadunnya masih lagi kabur.  Kepada Allah kita berserah!


Bagaimana pandangan Ustaz tentang dakwaan bahawa Rohingya ini kaum pendatang dari Bangladesh?

Kalau hendak bercerita dari segi sejarah kewujudan etnik Rohingya di Arakan akan mengambil masa yang panjang dan memerlukan pengesahan daripada pakar sejarah atau ahli akademik yang berwibawa.

Secara ringkasnya bolehlah saya katakan bahawa bangsa Rohingya telah wujud berkurun-kurun dalam sebuah negara Arakan yang luas  dan pernah mempunyai sistem pemerintahan beraja sebelum era penjajahan British lagi. Arakan merupakan sebahagian dari takluk India, hingga Chittagung suatu ketika dahulu. Fakta Ini tidak boleh dinafikan dari segi  sejarah. Hanya semasa pemerintahan British Arakan diletakkan di bawah Burma. Perkara ini terjadi sebelum kewujudan Bangladesh.

Jadi, yang memesongkan sejarah Rohingya adalah pemerintah yang dikuasai tentera, pemimpin agama dan Buddhist intelectuals yang radikal. Sejak 1989 nama Arakan digantikan dengan ‘Rakhine State’ – seolah-olah wilayah itu milik penduduk dari etnik Rakhine!

Kalau etnik Rohingya dianggap sebagai pendatang bagaimana pula kedudukan  etnik-etnik lain, termasuk Barma?. Asal usul mereka juga tidak mustahil hasil migrasi dan integrasi dengan bangsa dari negara-negara jiran seperti China, Laos, Tibet, Nepal dan Thai yang bersempadanan dengan Burma. Jika kita melihat mereka dari segi kulit dan paras rupa memang banyak persamaan. Atas sebab itu bolehkah kita katakan bahawa kaum Bamar juga sebagai pendatang?

Akhir sekali kami ingin bertanya tentang keadaan masyarakat pelarian Rohingya, termasuk di Malaysia.  Babagaimana Ustaz melihat masa depan mereka, termasuk keluarga Ustaz yang tinggal di sini sejak hampir 20 tahun yang lalu?

Ustaz Jaber:  Saya tidak dapat bercakap tentang rakan-rakan pelarian Rohingya yang tinggal di negara asing. Bagi saya dan saudara-mara serta rakan sebangsa yang tinggal di Malaysia, ada yang sudah tinggal di sini seawal tahun 1989, perasaan kami sepatutnya berbunyi ‘hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’.  Di sini saya  songsangkan pepatah Melayu itu ‘Hujan emas di negeri orang memang jauh  lebih baik dari negeri sendiri’.

Sungguhpun Kerajaan Malaysia belum lagi menandatangani ‘Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Masyarakat Pelarian’ namun kehadiran masyarakat Rohingya diterima disini.  Pihak berkuasa seperti polis dan imigresen bersikap bertimbang rasa selagi masyarakat kami mematuhi undang-undang negara ini.

Susah senang kami dapat juga  mencari sedikit punca rezeki dan tidaklah ada orang kami yang terpaksa hidup merempat dengan memakan pucuk kayu seperti yang berlaku sekarang di Arakan.

Anak-anak kami yang kebanyakannya lahir di Malaysia dan bagi mereka inilah tanah air mereka. Kami bangga anak-anak ini fasih berbahasa Melayu dan memakai baju kurung dan sukar hendak membezakan yang mereka ini orang pelarian. Cuma anak-anak kami ini tidak dapat memasuki sekolah bantuan Kerajaan disebabkan kekangan dari segi undang-undang. Untuk mengikuti pengajian di sekolah swasta jauh dari kemampuan kami.

Namun, sebagai ganti, boleh dikatakan anak-anak kami menerima pendidikan agama melalui sistem madrasah yang diwujudkan di mana-mana ada penempatan masyarakat Rohingya.

Kami juga bersyukur beberapa buah madrasah biasa mendapat sumbangan daripada institusi-institusi zakat yang disalurkan kepada Majlis Ulama Rohingya (MUR) melalui beberapa buah NGO Muslim. Namun, sumbangan ini tidaklah tetap dan jauh dari mencukupi. 

Pihak MUR terpaksa mengharap bantuan dan sumbangan masyarakat Islam untuk memastikan murid-murid seramai lebih kurang 1,500 orang itu mendapat asas pendidikan Fardu Ain dan pengajian Al-Quran disamping berpeluang mempelajari matapelajaran akademik seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Itu pun bergantung kepada adanya dana serta adanya guru yang bersedia mengajar dengan hanya dibayar sedikit honorarium.

Masyarakat Rohingya juga berterima kasih kasih kepada Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Future Global Network Foundation (FGN) yang berjaya memperolehi dana dari UNHCR untuk membuka 2 buah ‘Rohingya Education Centre (REC)’ – satu di Seberang Perai dan sebuah lagi baru buka di Klang. Dikedua buah pusat pendidikan ini murid-murid yang terdiri lebih 200 anak-anak Rohingya kesemuanya belajar mengikuti kurikulum KBSR.

Secara umumnya, seramai lebih 30,000 masyarakat pelarian Rohingya yang tinggal di Malaysia ini amat bersyukur dan kami berdoa semoga kampung halaman kami di Arakan akan satu hari nanti aman seperti Malaysia.

Oleh itu sebagai orang Islam kita perlu bersabar seperti yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat, 2: 177):

“Apabila kita berbicara tentang sabar, ertinya kita menyentuh soal keimanan sebagaimana firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa.”

Sebagai ibubapa kami amat risau memikirkan untung nasib masa depan anak-anak kami. Dada mereka perlu diisi dengan ilmu. Hanya dengan ilmu mereka akan dapat mengatasi cabaran hidup. Hanya dengan berilmu, duniawi dan ukhrawi, mereka dapat menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa yang berguna kepada bangsa dan agama. Kami sangat bimbang kepada anak-anak yang tidak berilmu akan menjadi parasites kepada agama dan masyarakat.

Kepada saudara Muslimin dan Muslimat yang berhajat memberi sumbangan ikhlas untuk pembangunan pendidikan anak-anak masyarakat pelarian Rohingya bolehlah berbuat demikian dengan menghantar cek berpalang atas nama ‘Majlis Ulama Rohingya (MUR)’ dan poskan kepada:-

        BENDAHARI
                                MAJLIS ULAMA ROHINGYA (MUR)
                                No. 16, 2A Jalan Suria Setapak,
                                Taman Suria Setapak
                                53000 Kuala Lumpur

                                Tel/Fax:  03-40223444             H/P:  017-354-9311
                                Email:   majlisulamarohingya_mur@yahoo.com

atau, didepositkan terus ke dalam akaun bank pertubuhan kami seperti berikut:-

     No. Akaun: 2007021000029939 (MAJLIS ULAMA ROHINGYA (MUR)
     Alamat bank:   AGRO BANK
     Ibu Pejabat Agro Bank
     Kuala Lumpur

     No. Tel:  03-27311600          No. Fax:  03-26914599

Kepada Muslimin dan Muslimat yang bersimpati dan banyak menyumbang dengan ikhlas untuk  kebajikan dan pembangunan pendidikan anak-anak masyarakat pelarian Rohingya di sini saya cuma dapat menyatakan kesyukuran dan ucapan ribuan terima kasih, sesuai dengan ayat Quran di bawah ini:-  


Al-Quran (Surah Al- Baqarah) Ayat 261
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.



Ada apa-apa lagi yang Ustaz ingin nyatakan?

Ustaz Jaber:  Saya bagi pihak Majlis Ulama Rohingya (MUR) dan masyarakat pelarian Rohingya di Malaysia sukacita menyatakan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak yang mengizinkan kami tinggal di Malaysia. Kami juga berterima kasih atas sifat ehsan dan bantuan yang dihulurkan kepada masyarakat Rohingya, terutama bantuan kemanusiaan atas inisiatif Pemuda 1Malaysia yang dihantar melalui kapal laut ke Akyab (Sittwe) baru-baru ini.

MUR juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua masyarakat Malaysia yang telah menghulurkan sumbangan derma untuk mangsa tragedi keganasan etnik di Arakan yang dibuat melalui beberapa parti siasah, institusi zakat, NGO-NGO dan kutipan melalui masjid serta madrasah di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.  Sebanyak RM150,000 yang diterima oleh MUR setakat ini telah pun diagihkan kepada mangsa yang terlibat di beberapa buah kampung di selatan dan utara Arakan serta kem-kem pelarian di Bangladesh.

MUR juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Muslimin dan Muslimat yang telah menyertai ibadah qurban untuk masyarakat Rohingya baru-baru ini (1434h). Berita mengenai perlaksanaan ibadah qurban itu akan dimuatnaik dalam blog MUR nanti.

Ribuan Terima kasih saudara Muslimin dan Muslimat ku.

‘Allah Hu Akbar! Allah Hu Akbar, Allah Hu Akbar!’








Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More