Wednesday 13 November 2013

SUMBANGAN QURBAN DAN AQIQAH (1434H) KEPADA MASYARAKAT PELARIAN ROHINGYA

Sempena Sambutan Hari Raya Eidul Adha baru-baru ini, Majlis Ulama Rohingya (MUR) telah berjaya mengagihkan 228 ekor binatang qurban/aqiqah (lembu) dan 24 ekor (kambing) akiqah kepada masyarakat pelarian Rohingya bukan sahaja di Malaysia bahkan termasuk juga di kem-kem pelarian di Bangladesh dan masyarakat pelarian Rohingya yang berlindung di kampung-kampung pendalaman di wilayah Arakan.

 Agihan binatang qurban/aqiqah itu adalah seperti berikut:-
  •  51 ekor lembu dan 10 ekor kambing untuk kem pelarian di Bangladesh (termasuk juga kepada beberapa kumpulan pelarian di luar kem).
  •  38 ekor lembu dan 1 ekor kambing di beberapa penempatan pelarian Rohingya di Semenanjung Malaysia.
  •  139 ekor lembu dan 13 ekor kambing di perkampungan pendalaman dalam Wilayah Arakan.

Barisan kepimpinan MUR sukacita mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan zakat, pihak NGO serta individu-individu Muslimin dan Muslimat di Malaysia yang bermurah hati menyertai ibadah qurban untuk masyarakat pelarian Rohingya tahun ini  (1434h) atas kepercayaan terhadap MUR bagi memegang amanah besar yang diberikan itu.

Agensi-agensi yang membuat sumbangan adalah seperti berikut:-
1)  Bank Al-Rajhi:  23 ekor lembu dan 9 ekor kambing.
2)  Takaful Malaysia: 7 ekor lembu dan (6 bahagian lagi).
3)  IKRAM: 15 ekor lembu (termasuk 2 ekor untuk Malaysia).
5) Global Peace Mission (GPM):  46 ekor lembu (36 untuk Malaysia dan 10 ekor Arakan/Bangladesh).
6) Individu-individu:  118 ekor lembu dan 15 ekor kambing (termasuk sumbangan daripada YM Raja Rahimah Binti Tuanku Abdul Samad - 6 ekor lembu serta RM2,760 derma untuk Tabung MUR). Ustaz Abdullah Bin Abdul Hamid (seorang pendakwah) dari Manjung, Perak telah menyumbangkan 4 ekor lembu (termasuk 2 bahagian lagi). 

Warga Rohingya di sebuah kampung pendalaman Arakan
    juga menerima lembu qurban sumbangan para dermawan
          dari Malaysia yang disalurkan melalui MUR
Penduduk di pendalaman Arakan kelihatan bersedia untuk
menunaikan ibadah korban – ehsan dari para dermawan dari Malaysia 
 Masyarakat Rohingya bersama menunaikan Ibadah Qurban
 di sebuah perkampungan di Buthidaung
 Penerima daging qurban dan aqiqah di kem pelarian Rohingya
                        di Cox-Bazaar, Tiknaf, Bangladesh
Pelaksanaan ibadah qurban 1434h dari rakyat Malaysia
           (disalurkan melalui MUR) di Tiknaf, Bangladesh

PENGAGIHAN SUMBANGAN KEPADA ARAKAN, KEM PELARIAN DI SEMPADAN BANGLADESH


Pada 5 September 2013 satu majlis penyerahan sumbangan melibatkan RM70,000 telah disampaikan kepada 13 orang yang mewakili pelarian Rohingya di dalam daerah Arakan serta di kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh. Penyempurnaan serahan tersebut turut dilakukan oleh Ustaz Haji Abdul Malek Bin Awang Besar dari Lembaga Zakat Selangor serta barisan kepimpinan MUR yang diketuai oleh Ustaz Mohd. Jaber Bin Mohd. Subahan (Pengerusi MUR).


Wakil-wakil berkenaan adalah terdiri daripada AJK MUR dan beberapa individu yang mempunyai hubungan langsung dengan mualim serta pemimpin masyarakat Rohingya di tempat-tempat berkenaan sama ada di Arakan mahu pun Bangladesh. 

Sebaik sahaja sumbangan tersebut diterima daripada MUR, wakil-wakil berkenaan akan menghantar kepada agen-agen Islam di kota raya di Bangladesh dan Myanmar. Agen-agen MUR yang dilantik itu akan menerima mata wang tempatan untuk membeli keperluan makanan, kain selimut, ubat-ubatan untuk diagihkan kepada mangsa di tempat-tempat yang terlibat.

Wakil-wakil yang menerima amanah tersebut telah pun menyempurnakan tanggungjawab masing-masing.

Penyerahan bantuan tersebut dilakukan atas dasar kepercayaan dan sikap husnuzon untuk memastikan bantuan yang murni itu betul-betul sampai kepada golongan sasar.

Penyerahan bantuan tidak wajar sama sekali disalurkan melalui pemerintah (seperti yang lazimnya dilakukan oleh NGO-NGO terkenal di Malaysia mahu pun dari luar negara). Pihak polis dan tentera Myanmar akan merampas balik sumbangan bantuan kemanusiaan yang diagihkan kepada mangsa orang Islam itu untuk kepentingan mereka dan diberikan kepada masyarakat etnik Rakhine Buddhists  sendiri.  Majlis-majlis penyerahan bantuan kemanusiaan itu hanya untuk tujuan publisiti semata-mata.

Kelihatan Ustaz Hj. Abdul Malek Bin Awang Besar Lembaga Zakat Selangor
menyampaikan replica cek kepada salah seorang wakil
           11 daripada 13 wakil yang menerima sumbangan agihan
                   zakat daripada Lembaga Zakat Selangor untuk
      disampaikan kepada mangsa tragedi rusuhan kaum di Arakan

PENYERAHAN SUMBANGAN KEPADA PESAKIT DAN ORANG KURANG UPAYA DI PULAU PINANG

Majlis Ulama Rohingya (MUR) juga telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai untuk membantu meringankan kesusahan hidup yang dialami oleh 33 orang yang uzur serta dari kalangan OKU di Negeri Pulau Pinang pada 26 Ogos 2013. Jumlah keseluruhan sumbangan melibatkan RM25,700.


Tujuan murni yang bersifat ehsan ini mampu direalisasikan oleh MUR pada tahun ini oleh kerana adanya sumbangan dana diterima daripada Ikatan Rakyat Malaysia (IKRAM) serta individu-individu yang prihatin tentang nasib malang kehidupan yang dihadapi oleh masyarakat pelarian Rohingya (terutama sekali golongan yang uzur dan  OKU).

Dari kanan, Ustaz Mohd. Karim (Setiausaha), Ustaz Mohd Jaber
  (Pengerusi), Ustaz Rahimullah (Naib Pengerusi) dan Ustaz Riadzul
             Haq (AJK) menyampaikan sumbangan ehsan kepada
    Mohd. Ali Bin Abul Fayaz yang mengidap penyakit barah tekak
Ustaz Mohd. Jaber dan Ustaz Mohd. Karim menyampaikan sumbangan
 kepada seorang remaja yang mengalami kemalangan di tempat kerja
Ustaz Mohd. Karim menyampaikan sumbangan kepada Hj. Saidul
                Rahman yang mengidap penyakit angin ahmar
Seorang wanita ibu tunggal Rohingya yang kematian suami
 di Sungai Petani, Kedah menerima sumbangan daripada MUR
   Seramai 7 orang warga emas di Bagan Dalam (4 tidak ada dalam
              gambar) juga mendapat sumbangan daripada MUR
  Pengerusi MUR (Ustaz Mohd. Jaber) melawat Madrasah Zinnurin
di Bagan Dalam. Beliau menyampaikan sumbangan MUR kepada  
Pengerusi Madrasah, Nurul Islam bin Yusof     

BANTUAN RAMADAN DARI LEMBAGA ZAKAT SELANGOR, IKATAN RAKYAT MALAYSIA (IKRAM), TM (BANGSAR) SERTA INDIVIDU

Pada 24 Ogos 2013 satu majlis penyerahan bantuan zakat kepada fakir miskin masyarakat pelarian Rohingya  telah diadakan di Madrasah Al-Islahiah Al-Islamiah Mahtafizul Quran di Taman Bunga Melor , Jalan Meru, Klang. 



Seramai 515 keluarga masyarakat pelarian Rohingya di sekitar Klang telah menerima bantuan yang berupa makanan kering (beras, minyak masak dll) bernilai RM50 dan wang tunai sebanyak RM50. Sumbangan tersebut adalah pengagihan zakat Ramadan diterima daripada Lembaga Zakat Selangor  (sebanyak RM50,000), Ikatan Rakyat Malaysia (IKRAM) sebanyak RM20,000, TM (Bangsar) sebanyak RM5,000 dan beberapa individu dermawan masyarakat tempatan yang lain – termasuk juga kutipan  khas yang mendapat kebenaran daripada beberapa buah masjid di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) diwakili oleh Ustaz Haji Abdul Malek Bin Awang Besar, IKRAM oleh Ustaz Wan Mohd. Zukri Bin Sheikh Mohd. Zain. Turut hadir ialah Mejar (B) Azlan dari Global Peace Mission (GPM), Cikgu Rosmah, Guru Besar, Rohingya Education Centre (REC) Klang dan wakil kepada  Cikgu Hj. Muslimin, Ketua ABIM Daerah Klang.

Sebelum sumbangan tersebut diagihkan, majlis telah diserikan dengan ucapan-ucapan daripada Ustaz Mohd. Jaber Bin Subahan, Pengerusi Majlis Ulama Rohingya (MUR) dan Ustaz Haji Abdul Malek Awang Besar (LZS). Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Mohd. Karim Bin Fazal Karim (Setiausaha MUR) dan dibantu oleh Ustaz Rahimullah (Naib Pengerusi MUR).

Majlis juga diserikan dengan bacaan al-Quran, persembahan nasyid oleh murid-murid madrasah tersebut. Sumbangan duit raya juga disampaikan kepada semua kanak-kanak yang hadir.

Kelihatan Ustaz Mohd. Jaber Bin Mohd. Subahan sedang menyampaikan ucapan
 Persembahan Nasyid dan Selawat Nabi daripada  murid-murid Madrasah
Sebahagian daripada penerima zakat
Murid-murid menerima Duit Raya daripada Ustaz  Hj. Abdul Malek
          Bin Awang Besar daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS)
     Ustaz Wan Mohd. Zukri Bin Sheikh Mohd. Zain (berbaju hijau)
           mewakili IKRAM turut menyampaikan sumbangan zakat

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More