Wednesday 19 December 2012

LAPORAN TENTANG AGIHAN SUMBANGAN IBADAH QURBAN 1434 HIJRAH

Ustaz Mohd Karim Bin Fazal Karim
Setiausaha Agung
Majlis Ulama Rohingya (MUR)


Sempena Sambutan Eidul Adha 1434 Hijrah pihak Majlis Ulama Rohingya (MUR) telah menerima sumbangan ibadah qurban daripada beberapa NGO tempatan dan antarabangsa untuk diagihkan kepada masyarakat pelarian Rohingya yang tinggal di Bangladesh dan Malaysia. 

Pihak MUR juga berjaya mengaturkan penghantaran sumbangan qurban dan aqiqah untuk disampaikan kepada masyarakat Rohingya yang tinggal di beberapa perkampungan pendalaman dalam wilayah Arakan. Untuk pengetahuan umum, penyembelihan binatang qurban adalah diharamkan oleh pemerintah Burma. 

Namun, oleh kerana ibadah qurban ini berlaku setahun sekali dan menjadi kelazimannya menerima daging qurban ini adalah masa yang paling di nanti-nanti oleh umat Islam di wilayah Arakan.  Ramai di kalangan warga Islam di Arakan hanya dapat menikmati lauk daging setahun sekali – iaitu daging qurban yang diterima hasil sumbangan Muslimin dan Muslimat daripada beberapa negara Islam (termasuklah dari Malaysia).

Berikut ini saya sukacita melaporkan pengagihan binatang qurban (lembu) dan aqikah (kambing) yang diterima daripada pelbagai pihak untuk masyarakat Rohingya:-

(1) Sumbangan daripada Global Peace Mission (GPM):  10 ekor lembu telah dihantar untuk diagihkan kepada masyarakat Rohingya yang tinggal di kem pelarian di sempadan Bangladesh-Burma.

(2)    Sumbangan daripada IKRAM:  6 ekor lembu dan 25 ekor kambing untuk pelarian Rohingya di Bangladesh; 1 ekor kepada penduduk Rohingya yang bermastautin di sekitar Jalan Meru (Klang); 1 ekor lembu untuk masyarakat Rohingya yang tinggal di sekitar Jalan Gombak; 20 ekor lembu untuk masyarakat Rohingya di wilayah Arakan (dibuat secara rahsia).

(3)  Sumbangan daripada orang ramai:  36 ekor lembu diterima sumbangan orang ramai. 12 ekor dihantar untuk masyarakat pelarian di Bangladesh, dan 24 ekor lembu qurban dan 10 ekor kambing aqikah dihantar ke Arakan (secara rahsia).

(4)  Sumbangan daripada sebuah NGO German disalurkan melalui Global Peace Mission (GPM):  114 ekor lembu diagihkan kepada masyarakat Rohingya yang tinggal di beberapa buah penempatan di negeri-negeri Trengganu, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan. 

DALIL IJMA’ ULAMAK

Para ulamak Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan korban berdasarkan ayat dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan korban merupakan amalan yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Korban juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

“ Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (Surah As-Soffaat : ayat 107)

Saya, bagi pihak pimpinan Majlis Ulama Rohingya (MUR) mengambil kesempatan di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang ibadah qurban/aqikah sempena sambutan Eidul Adha 1434H.

Pihak MUR juga ada mengeluar dan mengirimkan Sijil Penghargaan kepada semua pihak yang menghantar sumbangan qurban/aqikah.

Kami doakan semoga Allah s.w.t memberi ganjaran pahala yang sewajarnya kepada Dato’/Datin/Tuan/Puan yang budiman.
Dengan hormatnya,

Ustaz Mohd. Karim bin Fazal karim
Setiausaha Agung
Majlis Ulama Rohingya (MUR)
 


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More