Friday 18 May 2012

Lawatan Proffesor Azizah dan Pegawai MKN ke Madrasah MERU

Proffesor Azizah binte Kassim, Fellow Kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang membuat kajian sosio-ekonomi tentang masyarakat pelarian Rohingya di negara ini telah membuat lawatan ke madrasah Al-Islahiah Al-Islamiah Tahfizul Quran, Jalan Meru, Klang pada 25 Februari 2012.  Beliau turut membawa bersama seorang pegawai dari Majlis Keselamatan Negara (MKN).  Profesor Azizah menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM1,000 manakala MKN menyumbangkan pelbagai jenis buku rujukan agama Islam untuk bacaan murid-murid di madrasah tersebut. 

Profesor Azizah Kassim (kiri) bersama Pengerusi MUR, Ustaz Mohd. Jaber

Penyerahan sumbangan buku dari wakil MKN kepada Ustaz Mohd. Jaber

Semasa kunjungan tokoh kehormat tersebut pimpinan MUR telah memberi taklimat tentang operasi dan aktiviti program pendidikan yang dijalankan di madrasah tersebut. Pada masa itu terdapat seramai 71 murid   (46 lelaki dan 25 perempuan) mengikuti pengajian akademik (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Bahasa Arab dan Pengajian Islam).  Tenaga pengajar terdiri seperti berikut:- 

- Encik Nurullah bin Nur Alam (Bahasa Inggeris/Sains)
- Puan Safa binti Shamsulalam (Matematik)
- Ustaz Al-Hafiz Abdul Jalil bin Dudumeah (Fardu Ain/Pengajian Islam/Bahasa Arab/Tahfiz al-Quran)

Sebahagian murid-murid di Madrasah Al-Islahiah Al-Islamiah Tahfizul Quran, Jalan Meru 

Pihak MUR berharap semoga hasil kajian ilmiah yang dikendalikan oleh Profesor Azizah Kassim itu dapat memberi kefahaman sebenar kepada pemerintah negara ini tentang isu besar dan permasaalahan serta kepayahan hidup  yang dihadapi oleh masyarakat pelarian Rohingya di Malaysia.  Apa yang sangat-sangat dinantikan oleh masyarakat Rohingya di negara ini ialah penyaluran bantuan dana untuk penyediaan prasarana dan guru-guru bagi menyampaikan pendidikan kepada anak-anak yang berumur dalam lingkungan 7 – 14 tahun (yang sepatutnya berada di sekolah untuk mendapat pendidikan duniawi dan ukhrawi secara formal).  Disamping isu pendidikan, masyarakat Rohingya juga menghadapi pelbagai kesulitan - antaranya adalah taraf pemastautinan yang sah, pekerjaan untuk menyara hidup seharian dan bantuan rawatan kesihatan. 

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More