Wednesday, 4 July 2012

MASYARAKAT PELARIAN MYANMAR BERDEMONSTRASI DI BANGUNAN KEDUTAAN MYANMAR DI KUALA LUMPUR

Pada 15 Jun yang lalu satu demonstrasi besar-besaran telah diadakan di ibu kota Kuala Lumpur – sekitar 2,000 masyarakat  Rohingya dan juga masyarakat Islam Malaysia telah berarak dari Masjid Tabung Haji sejurus selesai solat Jumaat menuju ke bangunan kedutaan Myanmar kira-kira 1 kilometer dari masjid.

Mereka melaungkan kata-kata kejian dan kecamanan sambil membawa sepanduk yang mengandungi pelbagai slogan mengutuk kekejaman regim. Penunjuk perasaan juga membawa gambar-gambar mangsa pembunuhan dan gambar-gambar masjid, rumah serta harta benda yang dimusnahkan oleh etnik Rakhine yang dibantu oleh polis dan tentera tempatan.

Dalam tragedi  berdarah yang bermula sejak 8 Jun yang lalu lebih 20 buah kampong musnah.


Himpunan tersebut dianjurkan oleh sebuah NGO tempatan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (MAPIM) yang dipimpin oleh Setiausaha Agungnya, Cikgu Azmi Abdul Hamid dan turut disokong oleh beberapa pertubuhan Muslim lain di Malaysia.

Walaupun perarakan menuju ke bangunan Kedutaan Myanmar disekat oleh anggota keselamatan, akhirnya segerombolan yang dipimpin oleh Cikgu Azmi itu berjaya melepasi sekatan untuk menyerahkan memorandum. 


Namun, di hadapan pintu pagar kedutaan, wakil duta Myanmar enggan membuka pintu pagar untuk menerima memorandum.  Selepas hampir setengah jam menunggu dengan laungan beramai-ramai, akhirnya memorandum tersebut berjaya diserahkan melalui celah pintu masuk kepada salah seorang petugas kedutaan yang berkawal di bangunan berkenaan. 

Cikgu Azmi yang di wawancara oleh wakil-wakil media mengecam sikap tidak hormat yang ditunjukkan oleh pihak duta Myanmar  yang enggan bertemu untuk menerima memorandum tersebut - "Dia datang ke Malaysia, kita bagi tanah dan tempat tinggal, tiba-tiba dia layan kita macam ini. Jadi hari ini kita menuntut kerajaan kita menghalau mereka keluar dari bumi Malaysia ini, kita tidak boleh tolak ansur lagi.Mereka bunuh saudara Islam kita, orang perempuan, anak-anak kecil.  "’Respect’  la sikit, ini kertas sahaja, bukan bom. Kita akan gerakkan kempen besar-besaran kali ini," katanya.

Pada minggu sebelum itu masyarakat Rohingya telah juga berdemontrasi di hadapan kedutaan Amerika dan di depan bangunan UNHCR di Kuala Lumpur.  

MUR mendesak agar Majlis Keselamatan PBB segera menghantar pasukan penyiasat serta pasukan pengaman untuk mengawal keadaan dan menghentikan kekejaman regim tentera Myanmar bagi  meneruskan dasar penghapusan etnik  terhadap masyarakat Rohingya Muslim di wilayah Rakhine (dahulu dikenali ARAKAN).   


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More