Monday 8 October 2012

KELAB PUTRA 1MALAYSIA (KP1M) MENGHANTAR BANTUAN KEMANUSIAAN KEPADA MANGSA TRAGEDI RUSUHAN ETNIK DI ARAKAN, MYANMAR


Blog Kelab 1Malaysia 
(http://siemens-melayumaju.blogspot.com/2012/10/gambar-terbaharu-misi-rohingya-kelab.html) melaporkan bahawa setakat ini urusan misi kemanusiaan KP1M untuk membantu penderitaan masyarakat Rohingya di Myanmar nampak berjalan agak lancar. 
Rombongan utama misi tersebut diketuai oleh Presiden KP1M Datuk Azeez Abdul Rahim yang tiba di Yangon pada Sabtu 6 Oktober. Rombongan tersebut berlepas dari Yangon dengan pesawat komersial tempatan ke bandar perlabuhan Sittwe (Akyab) pada tengahari Ahad.

Ketibaan Datuk Azeez dan rombongan disambut baik oleh Ketua Menteri Wilayah Rakhine, Hla Maung Tin di lapangan terbang,turut sama ialah Menteri Hal Ehwal Sempadan  Myanmar, Mejar General Zaw Winn dan Duta Malaysia di Myanmar, Dr. Ahmad Faizal Muhamad.

Sejurus selepas itu, Datuk Azeez serta Ketua Menteri Rakhine dan Menteri Hal Ehwal Sempadan Myanmar, Duta Malaysia, Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K. Sri Dhammarathana dan 8 orang wakil media dari Malaysia telah melawat Kuil Lawka Nandar - kuil terbesar di daerah Sittwe. 
Disitu mereka telah mengadakan pertemuan dengan Ketua sami Buddha daerah Sittwe, Badanda Pentita. Tujuan pertemuan itu 
adalah untuk memberitahu mengenai tujuan misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia.

Ketua Sami Buddha Malaysia memberitahu bahawa Malaysia juga merupakan satu negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan hidup dalam suasana yang penuh harmoni atas semangat perpaduan. Wakil rombongan juga dibawa melawat kuil tersebut. 



Blog Kelab 1Malaysia juga melaporkan pada hari Isnin, 8 Oktober 2012 misi tersebut akan memulakan usaha agihan bantuan.  Mengikut rancangan mereka, bantuan akan diagihkan kepada 2 buah kem pelarian masyarakat Islam Rohingya dan 2 lagi kepada kem pelarian yang dihuni oleh mereka yang beragama Buddha.

Melalui laporan akhbar Sinar Harian (Isnin, 8 Oktober 2012) kapal misi kemanusiaan dari Malaysia dengan muatan 500 tan barangan tiba pada pagi 8 Oktober.

“Sejurus kapal tiba, barangan keperluan akan diagihkan kepada kem-kem penempatan sementara masyarakat Muslim dan Buddha yang dipilih oleh kerajaan Myanmar.”               

Datuk Azeez Rahim dilaporkan berkata selain bantuan lebih 500 tan makanan serta keperluan lain, pihaknya turut menyediakan 10,000 helai kelambu untuk diagihkan kepada penghuni di kem penempatan sementara bagi membendung penyakit Malaria.

Kepimpinan Majlis Ulama Rohingya (MUR) ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada usaha murni pimpinan Kelab Putera 1Malaysia ini kerana berjaya menghulurkan bantuan kemanusiaan disamping memupuk dan membaikpulih hubungan persahabatan antara masyarakat Islam dan masyarakat Buddha – khususnya di tempat-tempat yang bergolak di wilayah Arakan.

Amatlah diharapkan semoga mangsa tragedi dari etnik Rohingya yang tinggal di sekitar bandar-bandar Maungdaw dan Butidaung juga tidak terlepas pandang oleh pihak kerajaan dan NGO dari Malaysia bagi menerima bantuan kemanusiaan.

Oleh itu, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah s.w.t memberi perlindungan dan keselamatan kepada masyarakat Rohingya yang terperangkap dibumi Arakan dan berharap pemerintah Myanmar berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan keadilan serta menghapuskan segera dasar diskriminasi terhadap masyarakat Islam  Rohingya di bumi Arakan.





Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More