Monday 15 October 2012

PAS MENYUMBANG SERATUS RIBU UNTUK BANTUAN KEMANUSIAAN MASYARAKAT ROHINGYA DI ARAKAN



Parti Islam SeMalaysia (PAS) - melalui inisiatif Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) - telah menyumbangkan sebanyak RM100,000 (seratus ribu) kepada Majlis Ulama Rohingya (MUR) pada 14 Ogos 2012.

Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden Parti Islam SeMalaysia  (PAS), Tuan Guru Haji Hadi Awang kepada Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan (Pengerusi, Majlis Ulama Rohingya (MUR)) bertempat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr. Shamsuri Mokhtar (Setiausaha Politik Presiden PAS), Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua DPPM), Nurul Islam (Exco DPPM) dan Ustaz Haji Abu Sayyed bin Abdul Malek (Timbalan Pengerusi MUR).

Majlis Ulama Rohingya (MUR) menerima amanah dan tanggungjawab tersebut untuk  mengatur dan menyelaraskan penghantaran serta pengagihan bahan makanan serta keperluan-keperluan lain kepada masyarakat Rohingya di bumi Arakan yang menjadi mangsa tragedi rusuhan kaum yang dahsat pada awal bulan Jun 2012 dahulu. 

Sebuah Jawatankuasa Ad Hoc yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin utama MUR dan beberapa pemimpin masyarakat Rohingya lain (yang menjadi ketua kepada beberapa badan kebajikan masyarakat pelarian Rohingya di sekitar Lembah Klang) akan bermesyuarat dalam sehari dua ini bagi mengatur strategi dan kaedah penghantaran dana tersebut kepada beberapa aktivis Muslim di Myanmar yang diamanahkan untuk membeli dan mengagihkan bahan makanan dan keperluan lain kepada puluhan ribu mangsa yang terlibat. 

Aktivis Muslim yang diberi amanah ini adalah dari kalangan ulama yang berwibawa, dan sepertimana yang dimaklumkan terdahulu, amanah tersebut diberikan atas faktor  keimanan dan ketaqwaan individu terpilih yang berpegang kepada prinsip amal makruf nahi mungkar.

Jawatankuasa Ad Hoc tersebut akan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan kali ini sampai kepada mangsa Rohingya yang masih berada di kem-kem perlindungan dan perkampungan yang setakat ini masih kurang menerima bantuan kemanusiaan samada daripada agensi antarabangsa atau pun badan-badan sukarela dari Malaysia. Antara tempat-tempat yang akan dipertimbangkan  adalah Kiyoktaw, Sandowe, Paktu, Kyukpyu, Merohang, Rambri, Pununaijjuin, dan termasuk juga beberapa daerah di  Bandar  Akyab (Sittwe), Rasidaung, Busidaung dan Maungdaw.

Sumbangan daripada PAS ini adalah antara sumbangan terbesar yang pernah diterima oleh MUR untuk masyarakat Rohingya di Arakan.

Pimpinan Majlis Ulama Rohingya (MUR) mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada para dermawan rakyat Malaysia yang telah membuat sumbangan fi sabil Allah anjuran PAS bagi menyelamatkan masyarakat Rohingya di bumi Arakan. 

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More