Thursday 4 October 2012

SETIAUSAHA AGUNG PBB MENASIHATI OIC SUPAYA ISU ROHINGYA DITANGANI SECARA BERHATI-HATI!

Melalui laporan yang diperolehi daripada beberapa agensi media antarabangsa, Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu yang bersidang kali ke-67, berlangsung di Ibu Pejabat PBB, New York pada 28 September 2012 tidak membincangkan isu mengenai rusuhan kaum yang berlaku di Rakhine State (dahulu dikenali Arakan), Myanmar secara terbuka.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon (bawah), dikatakan hanya mengadakan pertemuan dengan Presiden Thein Sein dan Profesor Ekmeleddin Ihsanoglu (Setiausaha Agung OIC - badan Islam terbesar di dunia, yang mewakili 57 negara Islam) - secara berasingan.

Ban Ki-moon dikatakan telah menasihatkan Setiausaha Agung OIC supaya menangani isu Rohingya Muslim yang tidak bernegara di Myanmar secara berhati-hati oleh kerana permasaalahan tentang pergeseran kaum ini boleh memberi kesan dan implikasi yang lebih besar kepada proses reformasi demokrasi yang sedang giat diusahakan oleh pemimpin separa tentera Myanmar sekarang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan antara Ban Ki-moon dengan Thein Sein kedua-dua mereka dikatakan membincangkan juga langkah-langkah segera dan jangka panjang untuk meningkatkan harmoni antara kaum serta menangani akar umbi punca permasalahan ketegangan yang berlaku, termasuk juga usaha-usaha pembangunan.

Usaha pembaharuan yang dilakukan oleh pemerintahan sekarang tercemar dengan tercetusnya rusuhan kaum antara etnik Rakhine Buddhist dan etnik Rohingya yang mengakibatkan ramai mangsa terbunuh dan menjadikan beratus ribu yang kehilangan tempat tinggal akibat dari kemusnahan tempat tinggal dan kampung halaman mereka.

Banyak laporan yang mendakwa pengganas Rakhine yang dibantu oleh pihak tentera dan polis telah membunuh, merogol wanita dan anak gadis serta menahan ratusan pemuda Rohingya semasa dan selepas tragedi yang bermula pada 3 Jun yang lalu. 

Dilaporkan juga bahawa Jawatankuasa OIC yang ditubuhkan untuk menangani isu Rohingya telah bertemu buat kali pertamanya di New York dan menyeru supaya etnik Rohingya diberikan hak sebagai warganegara di Myanmar.

Prof. Ihsanoglu (bawah) juga memberitahu bahawa beliau mahu melawat Myanmar apabila kerajaan Myanmar sudah bersedia untuk memperbaiki isu-isu yang berkaitan dengan hak asasi masyarakat Rohingya Muslim.

Pimpinan MUR berpendapat bahawa apa yang berlaku jelas menunjukkan masyarakat dunia (khususnya PBB) masih belum bersungguh-sungguh mahu campur tangan dalam mencari penyelesaian abadi kepada konflik penindasan kaum dan pembersihan etnik yang dialami oleh masyarakat Rohingya di Myanmar sejak sekian lama.

Hingga ke masa ini keadaan keselamatan di wilayah yang terlibat di Arakan dilaporkan terkawal namun masih membimbangkan.

Laporan terbaru yang diterima menyatakan bahawa puak Rakhine sedang giat mengumpul pelbagai senjata dan sering melakukan provokasi, walhal masyarakat Rohingya yang masih tinggal di dalam kem-kem penempatan khas tidak mempunyai sebarang pertahanan diri. Pihak polis dan tentera tidak mengambil langkah-langkah pencegahan - seolah-olah membiarkan keadaan ini berlaku!

Selain OIC, masyarakat pelarian Rohingya di merata dunia masih menunggu-nunggu  kenyataan tegas dari pemimpin-pemimpin negara-negara besar - Amerika Syarikat, Russia, China,  Kesatuan Eropah dan ASEAN untuk mengecam rejim Myanmar serta  meluluskan resolusi PBB supaya Myanmar bersungguh-sungguh memberi hak kewarganegaraan kepada etnik Rohingya serta menyelesaikan konflik penghapusan kaum di bumi Arakan.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More