Sunday 16 September 2012

IKRAM MEMBERI SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT ROHINGYA


Majlis Ulama Rohingya (MUR) mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) kerana telah menyumbangkan sebanyak 
RM15,000 sebagai derma kebajikan kepada masyarakat pelarian Rohingya menghadapi bulan Ramadan Al-Mubarak pada tahun ini, 1433H.  


Memandangkan jadual pimpinan utama MUR begitu padat dengan undangan daripada pelbagai NGO dan jawatankuasa masjid-masjid di sekitar Lembah Klang serta di daerah lain di sepanjang Ramadan - untuk memberi penerangan tentang penindasan dan kekejaman dalam rusuhan kaum terburuk yang dilakukan oleh pengganas Rakhine Buddhist terhadap masyarakat Rohingya Muslim di bumi Arakan - maka majlis pengagihan bantuan daripada pihak IKRAM hanya dapat ditunaikan dalam bulan Syawal, iaitu pada sebelah petang 26 Ogos 2012 bertempat di Pejabat MUR.   

Pada tahun ini, sumbangan IKRAM diagihkan kepada 140 keluarga Rohingya yang bermastautin di sekitar kawasan Setapak/Gombak (pada tahun lepas di kawasan Meru, Klang). 

Setiap keluarga menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM50 bersama dengan barang keperluan makanan (beras, gula, minyak masak dll) juga bernilai RM50 bagi satu keluarga.  Selain itu, setiap keluarga juga telah dihadiahkan senaskah al-Quran yang diinfaqkan oleh beberapa saudara Muslim warga Malaysia kepada pejabat MUR sewaktu bulan Ramadan. 



Pengagihan zakat IKRAM telah dilakukan bersama oleh Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan (Pengerusi MUR) dan juga pemimpin-pemimpin utama MUR yang lain.

Pada Majlis yang sama, pihak MUR telah juga memberi penghormatan kepada beberapa pemimpin wibawa masyarakat Rohingya di sekitar Lembah Klang

 yang turut diundang seperti Encik Sami Ullah dan Encik  Qiassuddin untuk menyampaikan sumbangan kepada penerima zakat Ramadan kali ini.

Bantuan dan jasabaik kepimpinan IKRAM disanjung tinggi dan diucapkan ribuan terima kasih. IKRAM adalah satu-satunya NGO Muslim yang telah banyak membantu dan memberi sumbangan dana, ibadah qurban serta keperluan lain kepada masyarakat Rohingya bukan sahaja di Malaysia bahkan juga di kem pelarian di Cox Bazaar, Bangladesh yang diselaras oleh Majlis Ulama Rohingya (MUR).



Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More