Saturday, 15 September 2012

PERKASA MEWUJUDKAN TABUNG KEMANUSIAAN UNTUK MEMBANTU MASYARAKAT ROHINGYA YANG DIZALIMI DI ARAKAN


Pada 2 September 2012 Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali telah melancarkan sebuah Tabung Kemanusiaan untuk membantu umat Islam etnik Rohingya yang ditindas dengan kejam di bumi Arakan (kini dikenali ‘Rakhine State’), Myanmar. Dalam rusuhan kaum yang dahsyat meletus di Arakan pada  3 Jun 2012 beribu-ribu masyarakat Rohingya (termasuk wanita dan kanak-kanak) terkorban angkara kekejaman yang dilakukan oleh pengganas etnik Rakhine yang beragama Buddha yang turut dibantu oleh polis tempatan dan juga pihak tentera.  Seperti yang diketahui umum lebih daripada 30 buah kampung musnah dibakar , masjid dan madrasah juga dibakar, harta benda dirampas dan penduduk Rohingya terpaksa lari di kawasan pendalaman sehelai sepinggang.

Pada majlis pelancaran tabung tersebut, Majlis Ulama Rohingya Malaysia turut diundang sama dan diwakili oleh Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan (Presiden), Ustaz Mohd. Karim bin Fazal Mohd (Setiausaha Agung), Ustaz Mohd. Ayub bin Haji Abdul Ghaffar (Bendahari) dan Ustaz Mohd. Sattar bin Abdu Ghaffar (Penolong Setiausaha Agung).

Pada tarikh pelancaran tabung tersebut sejumlah sekitar RM40,000 telah dapat dikumpulkan.  Sumbangan diterima sebanyak RM30,000  (masing-masing RM10,000) daripada Yayasan Pelajaran Cheras, Restoran Sekinchan Ikan Bakar  dan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA).  Selain itu, derma kilat yang berjaya dikutip pada hari tersebut berjumlah hampir RM10,000.

Datuk Ibrahim Ali memaklumkan bahawa Tabung Kemanusiaan ini diuruskan oleh Biro Antarabangsa PERKASA yang bertanggungjawab menyelaraskan kutipan derma dari rakyat negara ini. 

Ustaz Mohd. Jaber mengucapkan setinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali atas inisiatif yang beliau gerakkan  bagi membantu penderitaan yang dialami oleh masyarakat Muslim di Arakan, Myanmar.  

Pihak MUR telahpun menubuhkan sebuah Jawatankuasa Ad-Hoc yang terdiri bukan sahaja dari kalangan pimpinan MUR malah juga tokoh-tokoh aktivis masyarakat Rohingya lain yang berwibawa seperti Sdra. Sami Ullah (satu-satunya warga Rohingya yang berjaya menjadi peguam), Sdra Qiasuddin dan Sdra Mohamed Sadek untuk merangka pelan tindakan pengagihan sumbangan yang akan diterima daripada PERKASA nanti.

Selain daripada itu, jawatankuasa tersebut juga perlu menegakkan keadilan bagi memastikan sumbangan orang ramai hasil usaha PERKASA ini benar-benar sampai kepada berates-ratus ribu masyarakat Islam yang merupakan mangsa kekejaman yang masih terperangkap di sekitar bandar-bandar Maungdaw, Buthidaung dan Akyab. 


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More