Saturday 15 September 2012

MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS) MENYUMBANG BANTUAN ZAKAT KEPADA MASYARAKAT PELARIAN ROHINGYA


Majlis Ulama Rohingya (MUR) mengucapkan setinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada MAIS yang telah memberi sumbangan zakat sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada masyarakat pelarian Rohingya di Negeri Selangor Darul Ehsan. Sumbangan tersebut disalurkan kepada MUR melalui agensinya, Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pengagihan bantuan zakat tersebut telah diselaraskan oleh MUR dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM). Kali ini, tiga penempatan masyarakat Rohingya dipilih untuk menerima bantuan tersebut iaitu 1) penduduk di sekitar Meru Klang 2) penduduk di sekitar Kampung Sungai Pinang, Jalan Kapar, dan 3) penduduk Rohingya yang tinggal di sekitar Taman Suria Setapak. 

Majlis Pengagihan kepada 180 keluarga masyarakat Rohingya di sekitar Meru telah disempunakan pada sebelah pagi 25 Ogos 2012, manakala penyerahan bantuan kepada 120 keluarga masyarakat Rohingya di sekitar Jalan Kapar diadakan pada sebelah petangnya.  Setiap keluarga menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM50 dan barang keperluan dapor juga bernilai RM50.  

Pada kedua majlis tersebut, selain daripada Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan (Pengerusi MUR) tiga pemimpin masyarakat setempat iaitu Tuan Haji Yusof (Nazir Masjid Batu Belah, Klang), Cikgu Muslimin (Pengerusi ABIM, Daerah Klang) dan Ustaz Mohdl Ali Sabirin (Guru Besar, Rohingya Education Centre, Klang) turut hadir dan menyampaikan ucapan. Cikgu Muslimin dan Ustaz Mohd. Ali Sabirin juga mewakili Global Peace Mission (GPM).

Pada 26 Ogos pula Majlis Penyerahan Bantuan MAIS diadakan di perkarangan Pejabat MUR di Setapak yang mana seramai 170 keluarga yang bermastautin di sekitar Setapak menerima bantuan yang berupa wang tunai sebanyak RM50 bersama dengan barang keperluan makanan juga bernilai RM50 bagi satu keluarga. Senaskah al-Quran hasil sumbangan orang ramai juga dihadiahkan kepada setiap penerima bantuan. Penyerahan dilakukan oleh barisan kepimpinan MUR dan juga pimpinan GPM yang diketuai oleh Major (B) Azlan.













Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More